suria

Ketulan Ais, Air Sejuk Penawar Cuaca Panas

ASSALAMUALAIKUM. Setelah satu malam di Arafah, tibalah waktu wukuf pada tanggal 23 September 2015. Selepas bersarapan, semua tampak segar. Ada yang berbual dan ada juga yang membersihkan diri. Tidak kurang juga yang batuk dan selesema ketika itu.

Saya berjalan keluar dari khemah dan meninjau kawasan sekitar maktab 68. Lelaki dan wanita di khemah berasingan. Semua berpakaian ihram dan begitu memelihara pantang larang. Di sesetengah khemah ada ustaz atau pembimbing yang memberi tazkirah. Saya tidak terkecuali mendengar tazkirah daripada khemah jemaah lain.

Saya berjalan dan ternampak ruang dapur yang menyediakan minuman dan makanan lantas bertanya kepada petugas dari Indonesia.

“Makanan ini hanya untuk jemaah di maktab ini ke?” tanya saya ingin tahu.

“Betul. Makanan di sini khas untuk di maktab ini saja,” balas petugas itu.

“Ada berapa ramai jemaah di maktab ini ye?” tanya saya lagi.

“Di sini hanya ada kira-kira 4,000 jemaah. Tidak ramai berbanding di maktab lain,” balas beliau.

“Jemaah di maktab ini dari mana?” tanya saya terus.

“Campur. Ada dari Malaysia, Indonesia, India, negara Arab, China dan Pakistan,” jawab beliau.

“Makanan semua sama ke?” tanya saya.

“Oh semua sama saja. Lebih mudah begitu,” balas beliau.

“Terima kasih,” ujar saya sambil memohon diri untuk pergi.

Setelah puas berjalan hingga ke hujung ratusan khemah, saya pulang semula ke khemah Destinasia yang menempatkan 50 jemaah wanita.

Hampir jam 12 tengah hari, semua jemaah memenuhi khemah semula. Waktu wukuf akan bermula pada jam 12.30 tengah hari hingga masuk waktu Maghrib pada jam 6.30 petang waktu tempatan.

Ramai yang kelihatan membuka buku doa dan sudah bersedia dengan wuduk sebelum masuk waktu solat fardu Zuhur. Setelah menunaikan solat Zuhur, semua jemaah berusaha untuk melipatgandakan ibadat.

Namun, bukan jemaah saja yang keletihan, saya sendiri terasa kurang bersemangat kerana cuaca panas melampau. Hampir semua berkipas dengan kotak-kotak yang dikerat kecil dan tidak kurang juga membawa kipas tangan.

Dalam kepanasan itu, setiap daripada kami berusaha untuk bersolat sunat, berzikir, berdoa dan membaca al-Quran dalam keadaan kurang selesa kerana suhu mencecah 50 darjah Celsius ketika itu.

Tidak lama selepas itu, makan tengah hari tiba di depan khemah kami dihantar oleh dua petugas, iaitu Haji Hadi dan Haji Mahmud. Makanan pek, air mineral, jus kotak dan buah-buahan adalah kemestian dalam setiap hidangan.

Jus berkotak-kotak dan air mineral berbotol-botol diminum namun usah risau untuk ke tandas kerana hampir setiap daripada jemaah akan bercerita pengalaman yang sama iaitu tidak kerap ke tandas untuk membuang air kecil.

“Banyak air yang kita minum tapi tak pula nak membuang kecil,” ujar seorang jemaah.

“Betullah. Mungkin sebab terlalu panas dan badan terlalu kering. Sebab itu kita kena minum banyak air. Alhamdulillah tidak kerap ke tandas,” sambung seorang lagi jemaah.

Masa terus berlalu. Tiada jemaah yang leka bersembang mahupun tertidur. Semua dengan haluan masing-masing. Berdoa dan berzikir. Paling tidak berdiam diri memerhati orang sekeliling. Kepanasan semakin terasa.

“Hajah, di sini tiada kipas atau alat penghawa dingin ke?” tanya seorang jemaah dari Sabah.

“Tak ada dalam khemah kita ni kak,” jawab saya.

“Saya tengok dalam khemah di depan kita ada kipas dan ada juga khemah yang ada alat hawa dingin,” ujar jemaah berkenaan.

“Khemah kita memang tak ada kemudahan itu. Malah bukan khemah kita saja, banyak lagi khemah yang tiada kemudahan itu,” balas saya.

“Saya ada penyakit tekanan darah tinggi. Cuaca di sini panas betul. Bimbang saya sakit nanti,” ujar beliau lagi.

“Kakak jangan cakap macam itu. InsyaAllah sihat. Minta yang baik-baik saja,” pesan saya.

“Hajah tak ada sakit. Tapi orang macam saya ada sakit. Susah nanti,” ujar beliau lagi.

“InsyaAllah kakak pun sihat. Tak nak cakap pasal sakit-sakit. Kita minta sihat sahaja, insha Allah,” balas saya.

“Tak boleh ke minta kipas untuk khemah kita ni?” tanya beliau.

“Kipas di khemah depan memang dah ada. Khemah kita memang tak ada. Hanya ada beberapa khemah saja ada kipas dan alat hawa dingin. Kalau ada  kipas pun angin panas tetap ada. Alat hawa dingin pun tak terasa sebab cuaca panas terik dan alat hawa dingin dah terlalu lama,” ujar saya pula.

Beliau terus senyap seketika. Beberapa minit kemudian terdengar nama saya dipanggil oleh petugas di khemah jemaah lelaki.

“Ni ketulan ais. Bagi pada jemaah wanita,” kata petugas lelaki bernama Amin.

“Alhamdulillah, terima kasih,” ujar saya.

Saya terus mengoyakkan plastik yang memuatkan ketulan ais dan mengagih-agihkannya kepada jemaah. Semua gembira dan bersyukur kerana mendapat ketulan ais yang begitu diperlukan tatkala cuaca panas kering itu.

Bukan untuk minum tetapi semua memasukkannya ke dalam tuala kecil dan menekapkan tuala itu ke kepala, wajah dan tubuh. Semua kelihatan segar dan mengucapkan Alhamdulillah kerana ketulan ais itu datang tepat pada masanya.

Saya turut merendamkan tuala saya ke dalam ketulan ais yang masih berbaki tetapi semakin cair setelah semua jemaah mendapat ketulan ais berkenaan. Saya juga menekapkan tuala di kepala dan terasa amat lega.

Hampir waktu Asar, saya ke tandas untuk berwuduk. Ketika berjalan menuju ke tandas, saya terlihat beberapa lelaki mengangkat satu tong air sejuk. Jemaah yang secara kebetulan melalui tempat itu turut mengambil air berkenaan.

Saya tidak melepaskan peluang. Saya gunakan untuk minum. Terasa sangat dahaga dan syukur dapat minum air sejuk yang mampu menghilangkan kehausan pada masa itu. Saya turut mencuci muka dengan air sejuk itu. Selepas itu saya bewuduk dan ketika berjalan pulang ke khemah, terdengar beberapa jemaah dari Malaysia sedang berbual.

“Air sejuk tadi jangan diminum. Elok minum air mineral saja. Bimbang kita batuk nanti,” ujar jemah berkenaan kepada rakannya.

Dalam hati saya berkata-kata, sudah dua botol air sejuk itu saya minum dan harap ia tidak menjadi punca pada batuk, demam atau selesema.

Selesai solat Asar, ramai jemaah membawa haluan masing-masing. Cuaca tidak lagi panas. Semakin redup dan membolehkan jemaah lebih fokus kepada amal ibadat mereka. Jemaah yang datang bersama-sama pasangan kelihatan keluar dengan suami atau isteri manakala yang bersendirian, turut mencari tempat yang sesuai untuk melafazkan doa.

Ketika itu saya sendiri mencari tempat terbuka untuk berdoa. Kotak-kotak yang bersepah di atas pasir berhampiran khemah dan pepohon renek menjadi tempat saya berteduh. Di situ, saya berdoa sebanyak-banyaknya. Hanya Allah sahaja yang Mengetahui. 

Bukan saya sahaja begitu, hampir setiap jemaah di dalam khemah akan keluar mencari tempat terbuka untuk berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Banyak air mata yang mengalir ketika itu lebih-lebih lagi ketika waktu wukuf hampir ke penghujung.

Suasana hening, sayu dan pilu menyelubungi diri. Amat  sukar saya gambarkan kerana hanya mereka yang pernah melalui waktu wukuf di Arafah akan mengetahuinya. Semoga Allah menerima taubat dan setiap permintaan hamba-Nya yang berdoa pada hari itu.

Selesai waktu wukuf, semua jemaah bersiap sedia untuk berangkat ke Muzdalifah dan seterusnye ke Mina untuk bermalam. Pada kira-kira jam 9 malam, jemaah sudah bersedia beratur menunggu bas. Namun, giliran kami menaiki bas bermula hampir jam 10 malam. Tidak sampai setengah jam, kami semua tiba di Muzdalifah dan perlu berada di situ untuk seketika.

Setelah bas berhenti di Muzdalifah, kami turun dengan beg bimbit masing-masing dan diarahkan ke kawasan lapang yang turut menempatkan jutaan jemaah dari seluruh pelosok dunia. Sesuatu yang baru bagi saya kerana tidak melalui pengalaman itu ketika menunaikan haji pada 2000.

Kagum melihat jemaah haji yang mampu tidur seketika berbumbungkan awan dan langit serta berlantaikan padang pasir. Mereka hanya beralaskan tikar atau ‘sleeping beg’. Hakikatnya, apabila badan sudah terlalu penat, mata pula terlampau mengantuk, di mana-mana sahaja kita boleh tidur. 

Saya tidak mampu melelapkan mata dan hanya duduk memerhati jemaah lain tidur lena. Pada jam 12 malam kami diarahkan bergerak semula ke tempat menunggu bas untuk membawa kami ke Mina. Saya kejutkan beberapa jemaah yang begitu lena. Berjalanlah kami ke tempat menunggu bas.

Ketika itu, keletihan maksimum begitu terasa. Badan penat, mata letih tetapi perlu digagahkan juga untuk menyempurnakan ibadat. Justeru, saya sering menasihatkan rakan agar tunaikan haji ketika usia muda kerana ia menuntut kekuatan fizikal, mental dan spiritual.

Sejurus bas tiba, kami menaikinya untuk menuju ke Mina. Perjalanan singkat dan bebas daripada kesesakan lalu lintas. Syukur. Saya dan kumpulan jemaah yang menaiki bas hampir jam 2 pagi tiba di maktab 68 di Mina pada jam 2.30 pagi.

Ikuti catatan pengalaman di Mina pada minggu hadapan, insyaAllah.

Maktab 68, Arafah, Destinasia, ais

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Basuh Kereta Bukan Kerja Amah

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan