KUALA KRAI: "Tiada sebarang persedian, kami hanya berserah kepada Allah jika 'bah kuning' datang lagi tahun ini," demikian reaksi sebahagian penduduk di sini mengenang insiden banjir besar penghujung tahun lalu. Bagi Md Nawi Abdul Hadi, 50, pengalaman hitam apabila kedai makan miliknya ditenggelami air sedalam 12 kaki masih berbekas hingga ke hari ini. "Masih ada kesan lumpur di kedai ini. Banjir tahun lalu paling teruk dalam sejarah. Air bergerak sangat laju. "Tahun ini kita berserah kepada Allah. Perkara ini kita tak boleh nak fikir, kena pasrah," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Guchil 1 di sini, baru-baru ini. Keadaan kedai makan milik Md Nawi selepas kembali beroperasi. Menurut Md Nawi, banjir tahun lalu turut mengajar erti kesusahan khususnya ketika berhadapan bencana yang tidak pernah diduga. "Duit ada tapi tak dapat nak cari bekalan makanan. Makan masa itu sehari sekali sahaja. Itu pun mee goreng dengan kicap," katanya. Jelasnya lagi, dia mengambil masa lebih sebulan untuk membersihkan kedainya yang dipenuhi lumpur setinggi sekaki. "Semua peralatan habis hanyut, cuma sempat selamatkan kereta dan motor... yang lain habis hanyut. "Waktu dulu pakaian anak, isteri semua habis hanyut, Kerusi meja pun sama. yang tinggal apa yang ada sekarang ini untuk berniaga," katanya. Sementara itu Chiem Peng Ling, 64, dia dan keluarnya masih trauma dengan insiden yang berlaku hampir genap setahun yang lalu. Menurut pemilik kedai perkakasan pembinaan itu, hingga kini perniagaannya masih belum pulih sepenuhnya. "Belum pulih lagi, anda boleh tengok di luar sana ada banyak peralatan dan skru yang sudah berkarat. "Ada yang boleh dibersihkan, tapi banyak juga yang hanya boleh jual di kedai besi buruk," katanya. Pasar Besar Kuala Krai ini ditenggelami air sehingga menghampiri paras bumbung. Ditanya mengenai persediaannya tahun ini, Ling berkata dia juga hanya akan tunggu dan lihat. "Tak boleh nak cakap mahu sedia macam mana. Jika ikut pengalaman tahun lalu tak ada tempat nak letakkan semua barang-barang ini, semua dipenuhi dengan air," katanya. Bagi Che Asmah Md Saad, peniaga makanan laut kering di Pasar Besar Kuala Krai, dia juga tidak melakukan sebarang persediaan jika banjir besar berlaku lagi pada tahun ini. "Nak sedia apa? Makcik tak sedia apa-apa pun. Serah pada Allah saja," kata wanita berusia 70 tahun itu. Menurut Che Asmah, banjir besar tahun lalu adalah yang pertama dihadapinya sejak berniaga kira-kira 30 tahun lalu. "Masa banjir sebulan tak bayar sewa. Lepas buka semula, makcik jual barang sikit-sikit sahaja sebab duit tak ada (modal). Dulu barang jualan lagi banyak," katanya.