Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Madis berkata kesemua mangsa banjir masih berada di empat pusat pemindahan dan paras air di kawasan terbabit, sedalam 0.1 meter hingga 3.05 meter.
Beliau berkata mangsa terbaharu di daerah Bagan Serai iaitu di Lebai Kadir, Mat Keling, Air Hitam Dua dan Simpang Lima dengan 15 orang daripada tujuh keluarga manakala di Kampung Ali Kalang meningkat kepada 16 orang daripada lima keluarga.
Kesemua mereka dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.
Beliau berkata mangsa banjir di Batu 38 dan 40, Kampung Beriah dan Parit Abu Hassan di Bagan Serai juga terus meningkat kepada 120 orang daripada 37 keluarga.
Yahya berkata mangsa banjir di daerah Hilir Perak kekal 56 orang daripada 16 keluarga membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Teluk Intan, Kampung Lorong Mesra, Batu 9 dan Kampung Lorong dan kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.
"Mangsa tanah runtuh di Pantai Remis menurun kepada 64 orang daripada 22 keluarga berbanding 83 mangsa daripada 22 keluarga dan mereka masih berada di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai," katanya.
Beliau berkata agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.