suria

Penyu Belimbing Spesis Terancam

MELAKA: Penyu Belimbing merupakan spesies haiwan terancam di negara ini dan kali terakhir direkodkan mendarat di pantai Terengganu pada 2010.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Zulkafli Abd Rashida berkata sebanyak lapan sarang sahaja direkodkan ketika pendaratan Penyu Belimbing pada tahun itu, malah lebih memburukkan keadaan telur berkenaan tidak menetas.

"Penyu Belimbing ini hanya mendarat dan bertelur di pantai Terengganu dan aktiviti manusia yang semakin sibuk termasuk banyak cahaya di kawasan pantai berkenaan menyebabkan spesis penyu tersebut tidak mendarat.

"Situasi ini sekiranya berterusan akan menyebabkan spesies penyu ini akan terus pupus pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Kesedaran dan Pemuliharaan Spesies Terancam di sini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri Melaka Datuk Ghazale Muhamad.

Zulkafli berkata pendaratan penyu Arga di seluruh negara pula menunjukkan peningkatan iaitu daripada kira-kira 2,000 pendaratan pada 1996 kepada 4,000 pendaratan, tahun ini.

Beliau berkata pendaratan tertinggi spesies penyu tersebut direkodkan di Pulau Selingan, Sabah dan pantai Terengganu.

"Kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap hidupan penyu di negara ini amat penting kerana ia merupakan khazanah yang tidak ternilai untuk negera dan generasi akan datang," katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau aktiviti pendaratan dan bertelur bagi semua spesies penyu di 35 lokasi pendaratan penyu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.-- Bernama

Artikel Lain