suria

Sektor Agro Makanan Perlu Dibangun Lebih Dinamik, Moden Dan Inovasi - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) melihat ikan-ikan di dalam sangkar ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2015 di Kota Samarahan, Sabtu. Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri)

KOTA SAMARAHAN: Sektor pengeluaran agro makanan negara perlu dibangunkan dengan lebih dinamik, moden, serta berinovasi, dan tidak boleh terperangkap dalam kerangka minda lama yang menganggap bidang pertanian sebagai satu aktiviti untuk sara diri semata-mata.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil contoh kejayaan negara seperti Belanda, Jepun, New Zealand dan Australia dalam menjuarai eksport hasil pertanian dunia, apabila pengusahanya berjaya mengadaptasi teknologi di samping mengamalkan kaedah pertanian berinovasi untuk memperoleh produktiviti yang lebih tinggi.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha menggalakkan para peladang, penternak, dan nelayan memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi, di samping memastikan seluruh rakyat turut mendapat manfaat daripada kemajuan sektor pertanian negara.

Katanya di bawah Bajet 2016, kerajaan menyediakan peruntukan RM5.3 bilion khusus untuk sektor pertanian, di samping menggerakkan inisiatif untuk menurunkan harga barangan dengan rancangan untuk menambah 50 lagi pasar tani di seluruh negara serta 150 Agro Bazar Rakyat 1Malaysia tahun depan.

"Suka saya umumkan empat pasar tani baharu akan dibuka di Sarawak, di samping 10 Agro Bazar Rakyat 1Malaysia tahun depan," katanya semasa berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak, Nelayan peringkat Kebangsaan 2015 (HPPNK) di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Timbalannya Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dan beberapa menteri kabinet.

Sekitar 10,000 hadirin membanjiri kawasan Dewan Suarah sejak awal pagi ini untuk turut sama-sama memeriahkan acara sambutan, yang akan berlangsung sehingga Khamis.

Najib seterusnya berkata beliau bersetuju dengan pengiktirafan sebagai wira yang diberi oleh Ahmad Shabery kepada kumpulan peladang, penternak dan nelayan.

"Mengikut perkiraan FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), menjelang tahun 2020 jumlah penduduk dunia adalah sekitar 9.7 bilion, berbanding 7.2 bilion ketika ini, dan jika pengeluaran makanan tidak ditingkatkan kepada 60 peratus daripada keadaan sekarang, dunia akan mengalami masalah kebuluran yang agak serius nanti," katanya.

"Ini bererti soal jaminan makanan ini merupakan satu daripada cabaran besar yang perlu ditangani dunia, selain ancaman keganasan fahaman ekstrem dan perubahan iklim. Saya anggap jaminan makanan adalah satu aspek yang perlu diberi perhatian yang serius oleh dunia," tambahnya.

"Ketika ini juga, kita (negara) mengalami defisit kira-kira RM17 bilion setahun, maknanya dari segi agro makanan, RM17 bilion defisit, kita import (hasil agro makanan) lebih dari kita eksport sebanyak lebih RM17 bilion," katanya.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain