KUALA KANGSAR: Enam tokoh terkemuka negara diberi penghormatan apabila menerima anugerah pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-59. Antara yang mendapat penghargaan itu adalah pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dan mangsa pembunuhan kejam, Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais. Onn menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri, manakala Kevin dianugerahkan Darjah Dato Paduka Mahkota Perak (DPMP) dengan gelaran Datuk. Cucu Onn, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima anugerah itu berkata, ia memberi erti mendalam buat keluarganya. "Ketika kematiannya, ramai yang tidak faham pengorbanan beliau. Menerima anugerah ini bagi pihaknya ketika landskap politik negara yang tidak menentu dan dipenuhi kebencian adalah bukti bahawa perjuangannya masih relevan. "Ia sebagai peringatan untuk diri saya supaya tidak menghiraukan pihak pengkritik. Jika saya kekal konsisten, maka sejarah akan membuktikan apa yang saya lakukan adalah tetap dan ia akan diterima generasi akan datang," kata Menteri Pertahanan itu. Beliau juga menggesa rakyat supaya kekal bersatu bagi berhadapan sebarang ujian yang melanda negaa ini. Sementara itu, Datuk Richard Morais yang menerima anugerah bagi pihak abangnya berterima kasih kepada Sultan Perak dan kerajaan negeri itu. "Dua minggu lalu, pihak istana menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai pengurniaan darjah kebesaran ini," katanya. Empat yang lain adalah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Abdul Aziz, bekas pemimpin dan Presidan PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy, bekas ahli akademik Aminuddin Baki dan bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong.