RAWANG: Seiring matlamat untuk meningkatkan kesedaran memelihara alam sekitar, syarikat penerbangan tambang murah Airasia menganjurkan kempen pembersihan sekitar Hutan Lipur Kanching dekat sini, Sabtu. Kempen yang bertemakan #Green24 dengan kerjasama Kampus Sarap itu disertai Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Berhad, Aireen Omar dan lebih 100 sukarelawan di kalangan kakitangan syarikat berkenaan. Jelas Aireen, kempen itu bertujuan untuk menanam kesedaran terhadap isu perubahan iklim yang tidak menentu. "Kira-kira 600 kilogram sampah pelbagai jenis dikutip sekitar kawasan air terjun ini yang terdiri daripada lampin bayi, bekas makanan, botol air, plastik dan sebagainya. "Kawasan air terjun ini sangat menarik tetapi memang menyedihkan apabila sampah dibiar dan ditinggalkan sebegitu sahaja," katanya. Ujarnya lagi, syarikat itu juga telah mengambil inisiatif mengurangkan pembaziran dengan mengitar semula, mengurangkan penggunaan elektrik dan penggunaan bahan api dalam operasinya. "Kami akan terima 300 pesawat baharu yang lebih menjimatkan penggunaan bahan api tahun depan. "Ini sebagai usaha untuk menjaga alam sekitar dan apa yang kami lakukan hari ini adalah untuk jangka masa panjang," jelasnya.