suria

Lebih 200,000 Pati Diusir Tahun Ini - Nur Jazlan

- Gambar hiasan
CYBERJAYA: Seramai 222,647 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah diusir ke negara masing-masing antara Januari hingga 25 November lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu 78,879 orang adalah dari tahanan depoh dan selebihnya mendaftar untuk Program Serah Diri Sukarela yang juga dikenali sebagai program 3+1 yang akan berakhir 31 Disember ini.

Katanya dalam tempoh sama seramai 53,330 orang Pati, 694 majikan dan 34 ejen sindiket telah ditahan hasil daripada 9,429 operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Operasi ini dijalankan hampir setiap hari sejak Januari dan kita boleh nampak peningkatan berbanding tahun lepas dengan hanya 5,452 operasi dijalankan.

"Pati yang ditahan kebanyakannya dari Bangladesh, Indonesia, Filipina dan Myanmar," katanya kepada pemberita semasa mengikuti operasi menahan Pati melibatkan 283 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bukit Damar, di sini pada awal pagi Sabtu.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 1.30 pagi di kawasan penempatan haram pekerja asing itu, seramai 1,163 pekerja asing telah diperiksa dan 290 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki permit kerja yang sah.

Mereka terdiri daripada 116 warga Indonesia, Bangladesh (105), Myanmar (22), Vietnam (13), Nepal (3), India (1) dan Pakistan (1).
Turut ditahan 26 wanita warga Indonesia dan tiga wanita Vietnam.

Seorang warga Bangladesh yang ditahan Shawkat Ali, 35, berkata dia baru dipindahkan ke penempatan itu oleh ejennya sejak tiga hari lepas setelah empat tahun tinggal di negara ini sebagai pekerja binaan.

Dia yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak di Bangladesh, berkata dia sebelum ini bekerja di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

"Saya datang Malaysia ikut kawan sebab katanya di sini ada banyak kerja.Saya bayar ejen RM400 sebulan dan masih ada hutang RM2,500," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi Pati yang ditahan, Abdul Holiq Basir, 33, berasal dari Pulau Jawa, Indonesia berkata dia juga datang ke negara ini kerana mengikut rakannya sejak setahun lepas dengan menggunakan pasport pelancong.

Bapa kepada dua anak itu berkata dia memperoleh pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan dengan bekerja sebagai buruh binaan.

"Saya membayar 7 juta Rupiah (kira-kira RM2,200) untuk ke Malaysia dan pasport saya dipegang oleh majikan," katanya.

Jabatan Imigresen menganggarkan terdapat kira-kira 2,000 pekerja asing yang ditempatkan dalam radius dua kilometer di kawasan penempatan haram di Bukit Damar itu.
Pati, Datuk Nur Jazlan Mohamed, JPN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain