suria

MH17: Tindakan Mahkamah Matlamat Pertemuan Waris-Peguam Hari Ini

PETALING JAYA: Beberapa waris mangsa nahas MH17 dijangka mengadakan pertemuan dengan peguam pada petang Sabtu bagi membincangkan tentang rancangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Sesi pertemuan yang melibatkan lapan anak guam, masing-masing empat waris anak kapal dan penumpang itu bakal diadakan di kediaman isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin di Alam Impian, Shah Alam pada pukul 3 petang.

Ia akan dibuat selepas majlis tahlil terhadap ahli keluarga mereka yang terkorban dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 hingga mengorbankan semua 283 penumpang dan 15 anak kapal. Majlis tahlil dijadualkan pada pukul 2 petang.

Seorang waris, Mohamed Affendi Khairuddin berkata, antara tindakan mahkamah itu adalah membuat tuntutan berhubung pampasan kepada waris.

Suami kepada pramugari MH17, Allahyarham Mastura Mustafa ini berkata, terdapat waris yang masih belum mendapat pampasan sehingga kini sama ada pertikaian pampasan antara kedua-dua pihak keluarga atau tidak berpuas hati dengan nilai yang ditawarkan.

"Kami juga akan mengambil tindakan terhadap MAS di atas faktor kecuaian kerana membenarkan laluan penerbangan di zon bergolak sehingga mengakibatkan pesawat MH17 ditembak jatuh.

"Kami telah mengadakan siri perbincangan sebelum ini. Pertemuan kami bersama peguam tempatan pada petang Sabtu bagi memutuskan bilakah tindakan mahkamah itu dan bagaimana ia dilakukan. Setakat ini beberapa waris yang diwakili peguam berkenaan telah mengesahkan kehadiran mereka untuk pertemuan ini," katanya kepada mStar Online.

Mohamed Affendi mendakwa, terdapat segelintir waris termasuk dirinya sendiri yang dianaktirikan oleh syarikat penerbangan itu dalam soal pampasan dan hal berkaitan nahas.

Jelasnya, isu pampasan turut melibatkan AS$50,000 yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini selain pampasan melalui insurans penerbangan untuk waris mangsa MH17.

Tambah Mohamed Affendi, isu kecuaian dan pampasan merupakan fasa pertama dalam mengenakan tindakan mahkamah ke atas pihak bertanggungjawab.

"Sehingga kini, kita tidak tahu siapakah yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17. Laporan keselamatan yang dikeluarkan sebelum ini hanya menjelaskan pesawat itu telah ditembak jatuh.

"Kita akan membuat tindakan susulan di mahkamah antarabangsa sebaik sahaja pengumuman secara rasmi mengenai pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Mariyam Yusoff yang juga isteri kepada juruterbang MH17 pula berkata, rancangan untuk mengambil tindakan mahkamah ini adalah usaha untuk memperjuangkan hak dan keadilan bagi waris mangsa nahas MH17.

"Kita perjuangkan apa yang boleh dilakukan di dalam negara terlebih dahulu. Sebab sehingga kini kita masih tidak tahu siapa yang seharusnya dibawa ke muka pengadilan kerana bertanggungjawab terhadap nahas MH17.

"Kami sebagai waris masih lagi menunggu. Sekarang ini senyap sahaja, tak ada sebarang maklum balas selepas laporan baru-baru ini yang mengumumkan pesawat MH17 ditembak jatuh. Itu semua orang tahu, yang kita hendak tahu siapa yang seharusnya bertanggungjawab," katanya.

Pada Oktober lalu, Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia ketika terbang pada ketinggian 33,000 kaki di kawasan bergolak timur Ukraine.

Laporan teknikal DSB itu membantu siasatan jenayah oleh Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bagi mengesan dan mendakwa dalang kejadian itu.

MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain