NUSAJAYA: Perbadanan Islam Johor (PIJ) kini dalam proses menyediakan bangunan Inkubator Usahawan Belia Islam Johor yang dijangka siap tahun depan bagi menggalakkan golongan itu menyertai bidang keusahawanan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Md Jais Sarday berkata bangunan menggunakan kontena terpakai yang diubahsuai sebagai pejabat moden itu, dilengkapi 20 hingga 40 unit ruang pejabat. "PIJ dan kumpulan di bawahnya diarahkan kerajaan negeri Johor untuk membina bangunan Inkubator Usahawan Belia Islam Johor bagi kemudahan usahawan muda memulakan perniagaan. "Pada masa ini, penyediaannya masih di peringkat awal dan dijangka siap selewat-lewatnya tahun hadapan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, Ahad. Md Jais menjawab soalan bertulis Aminolhuda Hassan (Amanah-Parit Yaani) mengenai bilangan inkubator atau pejabat yang dibina PIJ bagi golongan belia yang meminati bidang keusahawanan serta kaedah permohonan kemudahan itu. Menurutnya, antara lokasi Inkubator Usahawan Belia Islam itu adalah di Johor Baharu, Pasir Gudang, Pengerang serta Muar. Pada 2013, PIJ menyediakan 19 unit ruang pejabat di tingkat dua bangunan PIJ, Jalan Kebun Teh, Johor Baharu, katanya. Ketika ini, ruang pejabat berkenaan telah disewakan sepenuhnya kepada usahawan muda yang menjalankan perniagaan seperti pejabat guaman, insurans, pakaian dan perkhidmatan lain.