PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menyambut baik titah perintah Sultan Johor yang melarang penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu bermula 1 Januari tahun depan. Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, titah Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar itu disifatkan selari dengan hasrat Kementerian Kesihatan untuk menurunkan peratusan mereka yang menghisap rokok termasuk rokok elektronik. "Perkara ini disambut baik oleh Kementerian Kesihatan kerana menyedari negatif penggunaan rokok eletronik ini mengambil masa bertahun-tahun dan tindakan perlu diambil sekarang untuk menghentikan tabiat itu. "Semoga dengan titah ke bawah Duli Tuanku berkaitan perkara ini, kesihatan rakyat di negeri Johor akan semakin meningkat dan dicontohi oleh negeri-negeri lain," katanya. Pada Ahad, The Star melaporkan Sultan Johor mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi. "Saya mahu premis vape ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan. "Ia ada kaitan dengan isu kesihatan dan kesannya kepada golongan muda, bukan melibatkan perniagaan atau perkauman," titah baginda.