MUAR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau rela dipecat keanggotaannya dalam parti jika benar dirinya telah melakukan kesalahan yang serius. Anggota Parlimen Pagoh itu bagaimanapun mendakwa apa yang dilakukan dirinya selepas tidak lagi menjawat jawatan timbalan perdana menteri, ia sebenarnya tidak pernah melanggar peraturan dan disiplin parti. "Kalaulah benar saya dikatakan telah membuat kesalahan besar, apa pun saya reda dipecat...tidak apa. "Apa yang saya lakukan adalah bersuara demi untuk menyatakan apa yang saya rasakan benar. Apa pun diharapkan janganlah buat begitu kepada ahli yang telah berpuluh tahun berkorban untuk parti," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan sokongan terhadapnya yang diadakan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini, Ahad. Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, menerima memorandum sokongan daripada 106 cawangan di bahagian itu yang diserahkan wakil mereka, Datuk Samat Aripin. Muhyiddin berkata walau apa pun yang berlaku, beliau tetap merupakan anggota Umno yang setia kepada parti. "Biarlah dicincang dan dipancung, saya tetap (setia pada) Umno," katanya. Terdahulu ketika berucap pada majlis penutupan Program Gerak Mesra Zon 20 Kempen Cegah Denggi di Pekan Panchor, Pagoh, Muhyiddin berkata tidak sedetik pun dalam hatinya untuk menghancurkan Umno walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan. Katanya, beliau masih tetap bersama mempertahankan parti yang didukungnya lebih 40 tahun lalu. "Janganlah kaitkan saya untuk menghancurkan Umno kerana apa yang berlaku terhadap saya telah pun saya terima dengan tenang. Saya orang Umno. Jiwa dan perjuangan saya tetap dalam Umno," katanya. Muhyiddin berkata, apa yang turut diperjuangkan beliau kini juga bagi memastikan Umno tidak tewas pada pilihan raya umum akan datang dan parti itu terus mendapat sokongan besar. - Bernama