PETALING JAYA: Salah seorang daripada 'Muktadil bersaudara' yang dikaitkan dengan penculikan dua rakyat Malaysia pada Mei lalu ditahan oleh polis Filipina. Menurut ketua polis Jolo, Mejar Junpikar Sitin, anggota Abu Sayyaf, Kadafi Muktadil ditahan oleh polis Panamo semasa menerima rawatan di sebuah hospital selepas yang terlibat dalam kemalangan. "Ya, dia terlibat dalam satu kemalangan dan jabatan polis Panamao sedang mengendalikan kes ini," kata Mejar Sitin kepada The Star pada Ahad. Beliau berkata, Kadafi mendaftar masuk di Hospital Wilayah Sulu menggunakan nama Amin Maing dan kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Filipina pada Sabtu. Mejar Sitin berkata, Kadafi masih menerima rawatan di hospital. Menurut Philippine Inquirer, dua sekutu Kadafi yang turut berada di hospital yang sama berjaya melarikan diri. Komander Pasukan Bertugas Bersama Sulu, Briged Jeneral Alan Arrojado memberitahu Philippine Inquirer bahawa penahanan itu telah dirancang dan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung kehadian tiga anggota Abu Sayyaf di hospital berkenaan. Ketiga-tiga mereka dilaporkan terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi kenderaan di bandar Old Panamao di Sulu. "Mereka ini digunakan oleh pemimpin Alhabsy Misaya dan Angah Adji dalam penculikan di Sabaj, Malaysia," kata Arrojado. Kadafi dilaporkan didakwa memiliki senjata secara haram dan kecuaian mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius dalam kemalangan. Ia susulan penahanan seorang lagi anggota Abu Sayyaf, Saddam Jailani pada Jumaat lalu di Pelabuhan Jolo. Jalani bersama-sama dengan Kadafi dan abangnya, Mindas terlibat dalam penculikan pengurus restoran, Thien Nyuk Fun dan pelancong dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen di Restoran Ocean King di Sandakan pada Mei lalu. Thien dibebaskan pada 8 November, dan Then dipenggal kepala pada 17 November. Muktadil bersaudara sememangnya dilahirkan untuk melakukan jenayah keganasan khususnya penculikan rentas sempadan. Adik-beradik itu merupakan sebahagian daripada kumpulan yang menculik untuk mendapatkan wang tebusan, berpangkalan di pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina.