KUALA LUMPUR: Peguam Americk Sidhu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuat anak guamnya, Charles Suresh Morais berhubung kematian abangnya, Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Americk perlu menjelaskan pelbagai dakwaan Charles menerusi akuan sumpah mendakwa kononnya kematian abangnya itu ada kaitan dengan kertas pertuduhan sedang disiapkan oleh mendiang melibatkan 'pegawai tinggi kerajaan'. "Kita akan memanggil dia (Americk) esok atau lusa bagi merakamkan percakapannya. Mereka (peguam Charles) mesti bertanggungjawab terhadap apa jua yang perkara yang dibuat," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Karate Piala Ketua Polis Negara 2015 di Kompleks Majlis Sukan Negara, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini, Ahad. Pada Sabtu, polis mengesahkan Charles bertindak melarikan diri ke luar negara pada Khamis lepas selepas membuat pelbagai dakwaan berhubung kes kematian abangnya itu. Baru-baru ini, media sosial dan portal berita dalam talian melaporkan dakwaan Charles kononnya kes pembunuhan abangnya itu antaranya (Kevin) terlibat dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept lepas setelah beliau dilaporkan hilang pada 4 September lalu. - Bernama