suria

Cadangan Pembinaan Loji Nuklear Belum Muktamad - Mah

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan serta garis masa terperinci pembinaan loji janakuasa nuklear pertama negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong.

Beliau berkata sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas mengambil kira hasil kajian yang sedang dijalankan Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC) dan juga pandangan rakyat.

"Mengikut garis masa yang didapati melalui kajian kemungkinan yang sedang berjalan, jika keputusan dibuat pada masa sekarang untuk memulakan kajian penilaian tapak serta aktiviti lain yang berkaitan, tarikh paling awal loji janakuasa nuklear pertama boleh beroperasi dijangka pada tahun 2030.

"Namun keputusan ini belum dibuat," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping).

Nga meminta penjelasan sekiranya Malaysia akan mendirikan loji tenga nuklear menjelang tahun 2029 serta jumlah kos yang akan terlibat.

Mah berkata tumpuan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) adalah terhadap komunikasi awam mengenai keperluan dan pembekalan tenaga negara, termasuk nuklear dan sumber-sumber lain.

Beliau berkata anggaran kos pembiayaan terperinci dalam pembinaan loji janakuasa nuklear memerlukan kajian lanjut berdasarkan perkembangan terkini projek loji janakuasa nuklear di dunia.

"Anggaran kos yang dinyatakan dalam buku Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi dua unit loji janakuasa nuklear berkeupayaan 1,000 megawatt setiap satu di bawah Entry Point Project (EPP), nombor 11 bagi Pengunaan Tenaga Nuklear untuk Penjanaan Elektri dalam sektor Minyak, Tenaga dan Gas adalah RM21.3 bilion.

"Anggaran kos ini adalah berdasarkan kos loji berkenaan sahaja dan tidak termasuk kos pembiayaan," katanya.

Mah berkata kos pembiayaan bergantung kepada kaedah pembiayaan yang dikaji dalam kajian kemungkinan dan hasil laporan akan diambil kira dalam sebarang keputusan mengenai pembinaan loji janakuasa nuklear.

Nuklear

Artikel Lain