KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan bertemu semula Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda pada 18 Disember ini untuk memberikan penjelasan lebih lanjut berkaitan syarikat tersebut. Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata ada beberapa perkara lagi yang belum diselesaikan dan perlu dimuktamadkan berkaitan syarikat dan oleh kerana itu, Arul Kanda akan dipanggil semula. "Kita tangguhkan semula (prosiding) ke 18 Dis ini kerana keterangan tidak cukup lengkap lagi. Kita puas hati (dengan penjelasan) tetapi kita hendak perincikan lagi. Tidak semestinya berkaitan penubuhan syarikat sahaja. "Kerana itu, kita akan panggil Arul Kanda semula. Ya, dia seorang sahaja...berapa peratus prosiding ini selesai? Susah hendak dikatakan lagi ketika ini," katanya ringkas kepada pemberita selepas prosiding itu selesai kira-kira pukul 5 petang Selasa. Prosiding hari ini merupakan pertemuan pertama Arul Kanda dengan PAC. Hasan sebelum itu dilapor sebagai berkata PAC berpuas hati terhadap penjelasan yang dikemukakan oleh Arul Kanda berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan tersebut. Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw pula berkata beliau dan anggota parlimen pembangkang yang menganggotai jawatankuasa itu turut berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda. "Kita berpuas hati, namun kita akan panggil beliau balik dan minta penjelasan dalam beberapa perkara seperti rationalisasi pembayaran balik hutang syarikat," katanya. Dalam pada itu, Arul Kanda berkata pelbagai soalan berkaitan urus tadbir 1MDB dan apa yang telah laksanakan oleh syarikat itu sejak awal penubuhannya sehingga sekarang telah ditanya semasa mesyuarat tersebut. "Namun, apa yang dikatakan dalam mesyuarat tadi tidak boleh dibincangkan (kepada umum selagi belum selesai). "Apa yang penting, kami (1MDB) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak PAC (berhubung siasatan ini)," katanya kepada pemberita. Arul Kanda, yang diminta hadir bagi sesi seterusnya, turut berkata peluang seperti ini akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam memberikan penerangan dan penjelasan yang sewajarnya kepada PAC. "Apabila kami dipanggil, kami mengalu-alukan peluang untuk hadir dan memberi penjelasan di pihak kami. Kemampuan atau peluang yang diberikan kepada kami merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan. "Kami menjawab soalan-soalan hari ini sebaik mungkin. "Saya telah dijemput untuk menghadiri sesi lain. Seperti yang dinyatakan sebelum ini dan sekarang, kami akan menghadirinya," katanya.