KUANTAN: Polis pada Selasa menafikan terdapat kegiatan mencurah minyak ke atas jalan raya di Kilometer 72 hingga 74 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak sebagaimana yang didakwa pihak tertentu dalam laman sosial Facebook 'Kelab Info Trafik'. Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohamad Nor berkata pihak polis juga tidak mengesahkan insiden itu dan sehingga kini, polis tidak menerima sebarang aduan yang khusus berkaitan perkara itu. "Bagaimanapun, pihak polis akan memantau dan menjalankan siasatan ke atas perkara ini, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan perlahankan kenderaan di laluan yang berselekoh," katanya. Mohamad Mansor turut meminta para pengguna lebuh raya supaya mematuhi had laju yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kenderaan hilang kawalan sekiranya dipandu laju terutamanya semasa hari hujan.