KUALA LUMPUR: Sembilan Ketua Umno cawangan Teluk Kemang dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti itu susulan tindakan mereka menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai presiden parti. Semua sembilan pemimpin Umno cawangan itu dipanggil untuk siasatan Lembaga Disiplin pada pukul 2 petang ini. Bagaimanapaun, beberapa ketua Umno terlibat yang ditemui masih enggan mengubah pendirian mereka kerana mendakwa ia untuk kebaikan parti itu. Ketua Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman yang mewakili lapan lagi ketua cawangan berkata, pendirian itu bagi melihat perubahan dalam kepimpinan parti. "Kita tidak akan merayu dan kita akan terus dengan perjuangan kita dengan mengatakan kita mahu presiden meletakkan jawatan supaya orang lain akan mengemudi Umno untuk terus menghadapi pilihan raya akan datang dan tidak berkubur," katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn' di sini, Rabu. Kamarul berkata, masyarakat tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang sekiranya kepimpinan sedia ada masih diteruskan. Dalam pada itu, Kamarul mendakwa, banyak perkara yang dibuat oleh ketua cawangan tidak mendapat penerimaan daripada ketua bahagian. "Suara kami tidak pernah diminta untuk membuat satu-satu resolusi atau membuat keputusan," katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa sekiranya benar ada cawangan-cawangan yang mendesak Najib berundur, ianya perlu dibawa sebagai usul, setelah mendapat majoriti dua pertiga ahli daripada cawangan-cawangan terbabit. Oktober lalu, sekumpulan ketua Umno cawangan dari Teluk Kemang membuat desakan terbuka terhadap Najib supaya meletakkan jawatan sebagai presiden parti.