KUALA TERENGGANU: Dia hanya berusia 11 tahun dan belajar di tahun lima di sekolah. Namun dia kini sudah mula menghisap rokok elektronik atau vape. Apa yang lebih buruk amalan berkenaan adalah kesan pengaruh abangnya sendiri yang berusia 14 tahun. "Saya bermula kira-kira dua bulan lalu. Abang saya yang perkenalkan kepada saya. Saya rasa dia mahu ibu bapa kami berfikir apabila kami sentiasa bersama, kita tidak akan berbuat apa-apa perkara nakal," akui kanak-kanak itu. Rokok elektronik atau vape kini menjadi tabiat berbahaya untuk golongan muda berikutan kaedah pengawalan dan penjualannya adalah minimum. Golongan muda juga mempunyai akses mudah kepada perkakas vape dan jus cecairnya kerana ia dijual di merata tempat termasuk pasar malam. Abang kanak-kanak itu yang berusia 14 tahun berkata, hampir 40 peratus daripada rakan-rakan lelaki di sekolahnya di Kemaman dekat sini mempunyai vape. "Malah pelajar perempuan di sekolah juga menghisap vape. Vape kini dilihat sebagai sesuatu yang bergaya. Ada juga yang Vape di dalam kelas ketika guru tiada," katanya. Musim cuti sekolah memberi ruang kepada mereka untuk menghisap vape dengan bebas terutamanya bagi mereka bercuti di rumah datuk dan nenek tanpa kawalan. Kedua-dua adik beradik itu memiliki vape yang menelan kos kira-kira RM1,100. Ibu bapa mereka tidak mengetahui mengenainya. Jika ibu bapa tidak menyedari tentang tabiat mahal anak-anak mereka, kanak-kanak ini mendapat wang untuk membeli cecair vape. Tiada seorang pun daripada para pelajar mahu menjawab soalan berkenaan. Mereka bagaimanapun mengakui bahawa tabiat vape telah bermula selepas mencuba daripada rakan. Kata mereka vape lebih glamor malah kurang merbahaya berbanding rokok biasa. Bagi seorang lagi remaja berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Zack, dia mula menghisap vape berperisa 'mangga lassi' selepas mencuba pemberian kawannya kira-kira enam bulan lalu. Kini dia sudah ketagihan. Zack (bukan nama sebenar), anak seorang kontraktor dan seorang guru sekolah rendah berkata, rutin hariannya sejak enam bulan lalu ialah dengan memberitahu ibunya bahawa dia akan ke perpustakaan selepas waktu sekolah. Sebaliknya dia serta rakan-rakan termasuk dua adik-beradik tadi akan bertemu di tempat yang terpencil dan mula menghisap vape. Perasa pilihan mereka adalah "mangga Lassi", "horny mango" dan "laici". Menurut Zack dia tidak mempunyai pilihan selain perlu berbohong kepada ibu bapanya. "Saya kini telah menjadi ketagih kepada vape," katanya. Zack kini mempunyai dua rokok elektronik bernilai kira-kira RM500 yang disembunyikannya di dalam almari. Dia mengakui bahawa apa yang dilakukannya adalah salah tetapi berkata ia adalah terlalu sukar baginya untuk berhenti.