suria

Jualan Murah: Hanya Jika Barangan Dijual Murah Melebihi 70 Peratus

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, jualan murah hanya dibenarkan jika barangan yang dijual murah melebihi 70 peratus daripada jumlah kesemua barangan yang dipamerkan di dalam premis yang sama. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peniaga juga perlu mempamerkan pada setiap barangan harga yang ditawarkan dahulu, iaitu harga paling rendah dijual selama 28 hari berterusan dalam tempoh enam bulan sebelum tarikh bermulanya jualan murah, serta harga jualan murah.

Selain itu, notis jualan murah hendaklah dipamerkan dan ditampal di tempat yang mudah dilihat, manakala butiran barangan dan harga boleh dipamerkan dalam apa-apa bentuk yang mudah dilihat oleh pengguna, katanya pada sidang berita Majlis Gerakan Pengguna Kebangsaan (MGPK) di sini, Rabu.

Beliau berkata, syarikat yang melanggar Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2015, buat pertama kali boleh didenda sehingga tidak melebihi RM100,000, dan RM200,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Bagi pesalah individu, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, katanya.

Hamzah berkata mulai Januari depan, semua jualan murah perlu mendapat kelulusan dan apabila disahkan, perlu mencatatkan nombor pendaftaran jualan murah, logo KPDNKK serta tarikh jualan pada setiap pengiklanan. 

Sementara itu, setiap notis perlu disahkan oleh KPDNKK dan logo KPDNKK ditanda pada setiap iklan jualan murah.

Hamzah berkata, pengguna boleh membuat aduan kepada kementerian itu jika mendapati mereka ditipu oleh peniaga yang membuat jualan murah tetapi menjual dengan harga yang tinggi.

Beliau berkata, pengusaha yang hendak mengadakan jualan murah perlu membuat pemberitahuan dan menghantarnya kepada kementerian itu sebelum mengadakan jualan murah, termasuk menyatakan harga yang ditawarkan menerusi jualan murah.

"Peniaga perlu memohon notis jualan murah secara dalam talian melalui njm.kpdnkk.gov.my," katanya.

Selain itu, beliau berkata setiap jualan murah mesti tidak lebih 30 hari, kecuali tarikh yang diwarta, dan jualan murah pilihan peniaga tidak boleh diadakan terus-menerus, dan perlu berhenti selama 14 hari sebelum memulakan jualan murah seterusnya. -Bernama

jualan murah, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain