suria

Seorang Terbunuh, Empat Cedera Akibat Letupan Bom Ikan

KOTA KINABALU: Seorang terbunuh manakala empat cedera dipercayai akibat terkena letupan bom ikan di sebuah rumah setinggan atas air di Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum di Semporna, Rabu.

Mangsa dikenali sebagai Julpi Elexson, 6, yang mati ditempat kejadian, manakala yang cedera dikenali sebagai Masitah Elexson, Rashi Elexson, Dantai Kaldi dan Noaidah Tirun, yang dipercayai melarikan diri dan sedang diburu polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku apabila sembilan anggota dari satu keluarga cuba memasang perkakas bom ikan dan ketika memasangnya bom itu tiba-tiba meletup.

"Laporan awal diterima polis, ada seorang kanak-kanak mencampak bom di kawasan rumah itu. Namun, siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku apabila sembilan ahli dalam satu keluarga cuba untuk memasang perkakas bom ikan, namunketika memasangnya ia tiba-tiba meletup," katanya dalam sidang media, Khamis.

Jalaluddin berkata bapa mangsa Elexson Jundai, 50, telah mengebumikan mayat mangsa semalam dan tidak melaporkan kepada sesiapa sehingga maklumat berkenaan disampaikan orang ramai kepada polis lewat malam Rabu.

Jalaluddin berkata berkata polis telah menangkap suspek dan meminta perintah mahkamah untuk tujuan menggali semula kubur mangsa bagi tujuan bedah siasat serta bagi melengkapkan siasatan.

Kesemua mangsa tidak memiliki kad pengenalan diri, katanya.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata polis telah melaksanakan tindakan bersepadu bagi membanteras gejala judi di negeri ini menerusi Op Dadu bagi menumpaskan penularan kegiatan mesin perjudian haram.

Bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, beliau berkata, polis kontinjen Sabah telah membuat sebanyak 64 serbuan di pelbagai daerah dan daripada serbuan itu seramai 391 orang telah ditangkap dan 587 komputer termasuk tablet dirampas selain merampas wang berjumlah RM22,295.

Katanya satu gerakan besar-besaran juga telah dibuat secara serentak melibatkan seluruh kontinjen bermula 23 Nov hingga 5 Dis ini membabitkan daerah Tuaran, Tawau, Penampang, Papar, Kudat dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata hasil operasi bersepadu itu, polis telah menangkap seramai 63 orang, merampas sebanyak 112 set mesin pelbagai jenis dan wang RM1,650.

"Polis Sabah akan mempertingkatkan lagi serbuan dari masa ke masa bagi menangani kegiatan mesin perjudian haram di negeri ini," katanya.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain