suria

Warga China Dipenjara, Denda Akibat Jenaka Bom Dalam Beg

Hao dihukum penjara kerana secara berseloroh mengatakan ada bom dalam bagasinya ketika berada dalam pesawat China Air.

SEPANG: Mahkamah Majistret mengenakan hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 terhadap warganegara China yang secara berseloroh menyatakan dia membawa dua bom dalam bagasinya ketika menaiki pesawat.

Zheng Hao, 38 dari Tianjin mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, atau keduanya.

Ejen insurans itu didakwa melakukan kesalahan itu ketika menaiki pesawat China Air CA872 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada 12.20 pagi, Isnin.

Apabila ditanya oleh kru penerbangan kenapa begnya berat ketika meletakkannya pada ruang atas tempat duduk penumpang, Hao secara berseloroh memberitahu beg itu berisi dua bom.

Peguam James Ee berkata, anak guamnya tidak tahu dia melakukan kesalahan kerana dia hanya berseloroh sahaja.

"Ia sekadar jenaka.

"Anak guam saya berseloroh kerana kata-kata "berat umpama bom" adalah perkara biasa bagi masyarakat China apabila menggambarkan seseorang itu membawa sesuatu yang berat," Ee memberitahu mahkamah pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail menggesa mahkamah menggenakan hukuman berat supaya ia menjadi pengajaran kepada Hao dan juga masyarakat keseluruhannya.

"Walaupun ia bertujuan untuk berseloroh, tetapi ia mencetuskan ketakutan dan panik kerana dia beradala dalam pesawat ke Beijing dan menyebabkan pesawat itu ditunda," katanya.

Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalid mengarahkan Hao menjalani hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.






Zheng Hao, Tianjin, China Air, bom

Artikel Lain