PETALING JAYA: Sebuah kafe yang terletak di Taman Bukit Desa dekat sini mengadakan kempen bagi membantu golongan yang mengalami masalah kewangan. Caranya mudah, pengunjung ke kedai itu dapat menyumbang dengan membelikan makanan kepada mereka yang tidak berkemampuan itu. Melalui kempen 'Pay It Forward', pemilik Kafe Charlie, Desonny Tuzan, 41 dan isterinya Deborah Leong, 35 berkata ia adalah satu satu cara untuk mereka menyumbang kepada masyarakat. Sempena Krismas, Desonny berkata, mereka merancang untuk mengadakan majlis makan malam bersama pelarian kanak-kanak dari Myanmar pada 22 Disember ini. Pelanggan boleh memberi sokongan dengan membeli baucer hadiah bernilai RM15 dan majlis itu menyasarkan untuk melibatkan sehingga 80 kanak-kanak. "Ini sebenarnya kempen berterusan. Kami bermula pada Julai dan sempena Krismas, kami mahu lakukan sesuatu yang istimewa," kata Desonny. Pelanggan boleh bayar sebanyak mana yang mereka mahu untuk dituntut oleh golongan yang perlukan makanan. "Charlie adalah perusahaan untuk sosial. Visi kafe ini adalah kami mahu menyokong kerja yang diusahakan Orang Asli. "Sebagai contoh kami beli sayur-sayuran daripada Orang Asli. Beli dari mereka dan sokong kerja mereka. Kami gembira untuk menggaji mereka. "Untuk menyumbang kepada masyarakat, kami minta pelanggan untuk beli baucer RM5," katanya sambil menambah Kafe Charlie dibuka dari 7.45 pagi sehingga 9.30 malam setiap hari kecuali Ahad.