PUTRAJAYA: Ikuti wawancara Bernama bersama Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember ini. Soalan: Selepas lebih lima tahun menerajui Pemuda Umno, apakah yang dicapai? Khairy: Banyak kejayaan Pemuda, terutamanya dalam perubahan fokus, jika dahulunya fokus kepada politik ataupun kumpulan pendesak semata-mata, kini lebih kepada politik khidmat bakti dengan memberi khidmat kepada generasi muda. Peranan sebagai kumpulan pendesak itu masih ada terutamanya yang melibatkan tadbir urus isu-isu besar. Kita masih lagi bersuara tetapi lebih banyak fokus kepada produk dan juga program yang memberi impak kepada kehidupan harian generasi muda. Kita perjuangkan isu perumahan, isu pendidikan melalui biasiswa Pemuda Barisan Nasional (BN), karnival kerjaya Pemuda BN, program Proskill untuk memberi kemahiran kepada generasi muda. Usaha-usaha ini mendapat sambutan cukup baik. Orang muda sekarang kurang minat politik semata-mata, tetapi melihat politik sebagai satu cara membantu mereka mencapai matlamat. Mereka tidak melihat politik sebagai destinasi tetapi sebagai wadah untuk sampai ke suatu destinasi. Destinasinya adalah kehidupan yang lebih baik. Soalan: Ke manakah hala tuju Pemuda Umno untuk PAU kali ini? Khairy: Pemuda akan berikan beberapa cadangan kepada kerajaan supaya sekurang-kurangnya dapat membantu golongan muda dalam soal perumahan selain kemahiran supaya mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik, bagi menghadapi keadaan hari ini di mana kos sara hidup semakin meningkat. Pemuda juga akan sentuh soal politik sebab sama ada suka atau tidak...macam-macam hal politik di sebut dalam Umno. Pemuda mesti ada pendirian berkenaan apa yang berlaku sekarang ini. Soalan: Yang Berhormat (YB) pernah menyatakan bahawa Pemuda Umno menyasarkan jumlah anggota sebanyak 700,000 menjelang hujung tahun ini dengan penambahan anggota baharu sekitar 70,000 orang. Sejauh manakah pencapaian setakat ini? Khairy: Mungkin pada akhir tahun ini akan capai jumlah 40,000 orang, iaitu dua kali ganda dari tahun lepas... walaupun sudah kerah habis, masih belum capai sasaran memandangkan keadaan tahun ini sangat mencabar. Pasti semua pihak faham maksud saya. Tetapi daripada segi penambahan anggota, Pemuda masih lagi nombor satu berbanding Wanita, Puteri dan parti induk. Kita akan terus berusaha menambahkan lebih ramai anggota. Bagi strategi penambahan anggota, didapati di kawasan luar bandar sudah sampai tahap tepu dan susah untuk tambah lagi sebab kawasan ini tidak ramai orang muda. Jadi perlu lihat semula strategi untuk kawasan bandar, kita banyak terlepas di kawasan ini. Soalan: Kenapa di kawasan bandar kurang sambutan kepada Umno? Khairy: Jentera di kawasan luar bandar lebih mudah untuk berjumpa dengan golongan pemuda. Di kampung-kampung, mereka saling mengenali. Berbeza di bandar, sesama jiran pun tidak kenal. Jadi gerakan juga berbeza sikit, perlu kepada adaptasi tertentu. Apabila kita berdepan dengan pelbagai isu tahun ini, terdapat sedikit keengganan untuk bersama dengan Umno, tetapi bukan penolakan.Tapi saya percaya, sudah mula kelihatan sinar di hujung terowong berhubung penyelesaian pelbagai isu. Mungkin tahun depan akan lebih mudah untuk mengambil anggota baharu. Soalan: Perasmian persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri kali ini akan dilakukan oleh ketua sayap masing-masing. Bagaimana YB melihat perkara ini yang berbeza daripada amalan sebelumnya? Khairy: Saya melihat langkah ini sebagai satu penghormatan kepada ketua sayap untuk merasmikan mesyuarat masing-masing. Soalan: Adakah perasmian YB nanti sebagai Ketua Pemuda merangkumi ucapan dasar atau sekadar perasmian dan kemudian diikuti ucapan dasar? Khairy: Kita tengah 'workout' tapi lebih mudah jika sampaikan ucapan dasar dan kemudian terus merasmikan mesyuarat, jadi tidak perlulah dua ucapan. Soalan: Apabila ketua-ketua merasmikan sayap masing-masing pada perhimpunan kali ini, berbanding tahun-tahun lalu di mana ia dilakukan timbalan presiden, adakah YB merasakan tiada lagi keperluan di peringkat sayap untuk mendengar amanat daripada pemimpin tertinggi parti? Khairy: Kita akan mendengar amanat taklimat presiden pada hari Selasa (8 Disember) dan ucapan dasar Presiden pada perasmian Perhimpunan Agung Umno nanti. Jadi skop untuk mendengar daripada pemimpin utama masih ada. Soalan: Penggulungan PAU kali ini dikhabarkan akan dilakukan oleh Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja. Adakah ia sebahagian daripada langkah transformasi dan peremajaan Umno? Khairy: Sebenarnya ia belum diputuskan secara muktamad. Kita akan pertimbangkan dan sekiranya pandangan daripada perwakilan adalah untuk 'satu hati satu suara' memberikan penghormatan kepada Presiden maka itulah keputusannya. Kita perlu lihat penerimaan perwakilan terlebih dahulu. Kita kena akui macam-macam berlaku dalam Umno tahun ini. Sebolehnya kita hendak tutup tahun ini dengan satu suara supaya perpaduan parti dapat dipelihara. Kalau dibuka ruang dalam pengulungan itu kepada pelbagai suara yang kini nampak begitu kontra sekali, berkemungkinan boleh meninggalkan kesan yang tidak berapa molek sebelum menutup tirai 2015. Dalam keadaan hari ini, Umno mesti bersatu dan kalau berpecah, kita akan menghadapi masalah besar pada pilihan raya kelak. Mungkin inilah cara untuk menzahirkan 'satu hati satu suara' yang saya sebutkan tadi. Soalan: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Konvensyen Permerkasaan Agenda Ummah baru-baru ini menyatakan bahawa Umno mengalami krisis kepercayaan dan keyakinan yang meruncing dan membimbangkan. Adakah Umno bermasalah berikutan keengganan rakyat dan apakah sebenarnya berlaku di dalam Umno sekarang ini? Khairy: Tiadalah masalah besar, tetapi kita berhadapan dengan cabaran yang saya rasa serius. Kita kena ambil langkah segera untuk mengembalikan sokongan orang Melayu dan juga rakyat kepada Umno secepat mungkin. Kita tidak ada banyak masa, hanya tinggal dua tahun sebelum pilihan raya akan datang. Sekiranya kesemuanya dalam Umno bersatu, krisis keyakinan akan dapat diatasi. Kita juga perlu bersedia menerima pandangan-pandangan daripada luar, tetapi bukanlah pandangan untuk memecahbelahkan. Kita perlukan pandangan orang Melayu yang tidak ada dalam arus kepimpinan Umno. Umno perlu kembali menjadi parti kepada semua orang Melayu seperti masa dulu, bukan seperti persepsi sekarang bahawa Umno hanyalah untuk pegang jawatan. Kita kena ubah persepsi itu. Soalan: Apakah yang perlu dilakukan oleh parti untuk merapatkan barisan kepimpinan, yang kini dilihat berpecah? Khairy: Perhimpunan Agung kali ini sangat penting bagi menunjukkan bahawa walaupun wujud suara-suara yang mungkin tak sehaluan dengan kepimpinan tetapi majoriti daripada kepimpinan dan perwakilan tetap bersama parti, bersama presiden untuk memberi peluang kepada presiden menyelesaikan segala isu yang timbul sama ada 1MDB (1Malaysia Development Bhd), isu derma dan sebagainya, kesemuanya adalah isu-isu besar. Kita hendaklah beri peluang kepada presiden sebab kita nampak ada kesungguhan. Semakin banyak perubahan dalam 1MDB, iaitu sudah bermula siasatan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) dan penjualan aset untuk kurangkan pinjaman. Memang ada usaha dan kita perlu terus berikan ruang kepada presiden untuk melaksanakan janjinya. Soalan: Senario semasa dilihat tegang di dalam Umno yang menampilkan perbezaan pendapat antara pemimpin dan akar umbi. Bagaimana YB melihat perkara ini? Bagaimanakah caranya anggota parti boleh membuat teguran kepada pemimpin? Khairy: Ada caranya, iaitu cara yang tidak akan meruntuhkan institusi. Jangan kita bakar habis kelambu... kalau tidak puas hati, eloklah bangkitkan isu berkenaan dalam parti.Pemuda dah bangkitkan dan saya sudah berjumpa presiden berhubung beberapa isu yang saya tidak puas hati. Teguran hendaklah cara berhemah, jangan sampai menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan sehingga boleh menjejaskan parti. Soalan: Pada tahun lepas Pemuda banyak menyentuh soal peremajaan parti selain isu berkaitan golongan belia dan kos sara hidup. Adakah isu sama akan dibawa atau sebaliknya? Khairy: Saya sentuh sedikit isu-isu itu tapi ucapan dasar saya kali ini banyak kepada asas perjuangan pemuda. Kenapa kita berada dalam politik dan untuk siapa kita berjuang? Sebab saya nak 'tune' balik keutamaan Pemuda. Soalan: Adakah YB merasakan telah mencapai sasaran sebagai Ketua Pemuda? Khairy: Itu bukan untuk saya jawab, itu untuk orang lain buat rumusan. Saya masih ada dua tiga tahun sebagai Ketua Pemuda sebelum habis penggal. Ini penggal terakhir saya.Yang penting adalah untuk menyediakan barisan pelapis yang boleh menggantikan saya bila tiba waktu dan masanya. Dua tahun lagi habislah, bermakna pada 2017 atau 2018. Sudah hampir 10 tahun saya pegang jawatan Ketua Pemuda... kena ada orang baharu, muka baharu. Soalan: Bagaimana persediaan daripada segi pimpinan pelapis? Khairy: Pelapis memang ada tapi mereka mungkin belum sampai tahap bersedia, masih ada lagi dua tahun. Saya harap pengganti saya kelak daripada kalangan Pemuda, maksudnya bagi Ketua Pemuda, tak ada had umur. Tak payahlah ada orang yang bukan daripada Pemuda. Soalan: YB dilihat sebagai 'public figure' dengan aura yang mampu menarik minat orang muda. Bagaimana persepsi orang muda terhadap Umno? Berubah? Khairy: Hendaklah ada pendekatan dan mesti berperingkat-peringkat. Kalau seseorang suka pada individu tapi masih ada keraguan terhadap parti, kita kena pastikan sokongan mereka terhadap individu boleh diterjemahkan kepada sokongan kepada parti. Contohnya, jika saya suka Datuk Seri Najib tapi tak suka Umno atas apa-apa alasan atau saya suka Hishammuddin tapi tak berapa suka Umno sebab susah nak jadi anggota cawangan, masing-masing ada alasan tersendiri. Jadi, Pemuda perlu mencari jalan untuk menterjemahkan sokongan terhadap individu kepada sokongan terhadap parti. Soalan: Dengan baki kira-kira dua tahun setengah sebelum pilihan raya umum, bagaimanakah Pemuda menyasarkan program untuk menarik pengundi baharu? Khairy: Pemuda ada program tersendiri, tapi itu strategi dalaman, tak perlu didedahkan. Kita dah masuk fasa kedua. Fasa pertama ialah membina jenama dan sebagainya. Sekarang ini, waktu untuk 'convert' kesukaan ramai kepada sokongan politik.-- Bernama