KUALA LUMPUR: Empat warga asing termasuk seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), antara lima ditahan bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua suspek terbabit ditahan dalam operasi khas di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor, antara 17 Nov dan 1 Dis lepas. Empat warga asing yang ditahan itu terdiri daripada seorang guru sambilan, seorang pelajar, juruteknik dan mekanik. "Warga Eropah berusia 44 tahun yang bekerja sebagai guru sambilan Bahasa Inggeris di Pulau Pinang ditahan kerana dipercayai menyertai kumpulan pengganas Al-Qaeda serta terbabit di dalam aktiviti keganasan di Afghanistan dan Bosnia. "Manakala seorang pelajar warga Afrika di Petaling Jaya, Selangor ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu. Kedua-dua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk tujuan pengusiran. Sementara itu seorang warga Bangladesh, 25, yang bekerja sebagai juruteknik turut ditahan disyaki merancang untuk berjihad menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria. Warga Bangladesh itu ditahan bersama seorang warga Indonesia dan seorang anggota Rela berusia 59 tahun. Ketiga-tiga mereka itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah bab VIA - Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). "Anggota Rela itu ditahan ditahan di Kota Bharu, Kelantan disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Daesh. "Suspek itu yang juga bekerja sebagai tukang jahit disyaki bertanggungjawab merekrut dan mengatur anggota-anggota untuk terlibat dengan aktiviti keganasan di luar negara. "Manakala warga Indonesia berusia 31 tahun dipercayai ketua sel ini ditahan di Johor. Suspek telah berbai'ah dengan Abu Bakar al-Baghdadi, pemimpin IS melalui Facebook pada pertengahan tahun lepas," katanya. Khalid menambah, suspek juga disyaki bertindak sebagai fasilitator bagi mengatur individu dari Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara yang berhasrat menyertai kumpulan Daesh di Syria dan beberapa kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara.