suria

Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Mangkat

JOHOR BAHARU: Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah di sini akibat kanser.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik putera Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang mengumumkan mengenai berita kemangkatan itu berkata jenazah Almarhum akan diiring ke Istana Besar malam ini dan ditempatkan di Bilik Khas Istana Besar.

"Istiadat siram jenazah dan kafan akan dilakukan kira-kira 7 pagi esok (Ahad) dan seterusnya jenazah Almarhum akan disemayam di Bilik Singgahsana Istana Besar," kata beliau dalam sidang akhbar di Bukit Timbalan di sini, Sabtu.

Abdul Rahim berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula akan bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebelum jenazah disembahyangkan dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah di sini selepas waktu Zohor esok (Ahad).

Beliau berkata jenazah Almarhum akan dibawa menggunakan pedati yang akan ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar terus ke makam tersebut sepanjang tiga kilometer.

Turut mengiringi jenazah ialah Sultan Ibrahim serta anakanda-anakandanya yang lain, kata beliau.

Abdul Rahim berkata Almarhum akan disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Januari 2010, atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Diputerakan pada 5 Julai 1990, Almarhum disahkan menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember tahun lepas dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China sebelum ini.-Bernama


Artikel Lain