GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan seorang jururawat diberhentikan kerja berikutan enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek di sebuah hospital swasta. Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata tindakan akan diambil sekiranya hospital terbabit didapati melanggar peraturan di bawah Bahagian Amalan Perubatan Swasta Kementerian Kesihatan. Beliau berkata semua hospital di bawah kementerian mewajibkan jururawat beragama Islam menutup aurat dan arahan ini turut diguna pakai untuk hospital swasta. "(Jururawat) hospital kerajaan semua tutup aurat kecuali dalam dewan bedah yang memerlukan doktor dan jururawat pakai lengan pendek. Namun mereka masih bertudung dan memakai gaun perubatan yang menutup aurat. "Jururawat yang beragama Islam semua wajib (menutup aurat). Hospital swasta kena ikut kementerian. Dalam hal ini kita pun tidak tahu apa masalah yang sebenarnya, Bahagian Amalan Perubatan Swasta kementerian tengah siasat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran UMNO Bahagian Jelutong melibatkan 45 kanak-kanak lelaki di sini Ahad. Pada Jumaat lepas (4 Dis), seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, Naziah Sauni Samat, 24, mendakwa beliau diberhentikan kerja setelah enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek. Katanya, arahan supaya mengenakan pakaian seragam itu dikeluarkan selepas dua bulan dia bertugas di hospital swasta tersebut atas faktor kebersihan. Gadis berkelulusan Diploma Kejururawatan itu sebelum ini bertugas di sebuah klinik sebelum bekerja di hospital swasta berkenaan pada 1 Sept lepas, sekembalinya dari Jepun sebagai jururawat peribadi selama setahun empat bulan. Dalam pada itu, Dr Hilmi menasihatkan mana-mana doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang mempunyai masalah untuk terus membuat laporan kepada pihak kementerian supaya tindakan susulan dapat diambil. "Semua laporan dan aduan yang diterima tidak kira sama ada melalui media sosial, bertulis dan e-mel serta menerusi WhatsApp berkaitan masalah disiplin, tidak puas hati akan disiasat," katanya. Mengulas cadangan bayaran tempat letak kenderaan di kawasan hospital awam di seluruh negara, Dr Hilmi berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan dan ia masih di peringkat awal. Beliau berkata tujuan cadangan itu adalah untuk menyelaras dan mengawal penyalahgunaan tempat letak kenderaan oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menyukarkan kakitangan hospital dan pelawat. "Ada yang salah guna kerana tempat letak kereta di hospital ni percuma. Ada tu letak kereta di hospital kemudian pergi tempat lain petang baru ambil balik kereta. Kita nak menyelaras dan mengawal supaya tempat meletak kenderaan ini digunakan oleh mereka yang ada kena mengena dengan hospital seperti kakitangan dan pelawat," katanya.