suria

MKN Sabah Hantar Pulang 26,280 Pendatang Asing Tahun Ini

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seramai 26,280 pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah dihantar pulang ke negara asal masing-masing bagi tempoh Januari hingga Sabtu.

Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, daripada jumlah itu, 20,230 adalah warga Filipina, Indonesia (5,830) dan negara-negara lain seramai 220.

"Bagi tempoh yang sama MKN turut memeriksa 9,751 orang dan daripada jumlah itu, seramai 4,981 ditahan untuk tapisan lanjut, manakala 3,794 direman," kata kenyataan itu di sini, Ahad.

Seramai 6,353 Pati masih ditahan di empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di seluruh negeri.

Sementara itu, MKN telah menahan 204 Pati dalam operasi dua hari berakhir semalam di sekitar Tawau.

Daripada jumlah itu, 163 adalah warga Filipina, Indonesia (38) dan Pakistan (tiga).

Kesemua Pati yang berumur satu hingga 60 tahun itu ditahan di Pusat Tahanan Sementara Tawau mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. -- Bernama


Pati, MKN Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain