suria

Ketua Umno Rantau Panjang Angkat Sumpah Senator

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin mengangkat sumpah sebagai Senator buat pertama kali di Dewan Negara pada Isnin.

Ia berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Abdullah, 60, berasal dari Pasir Mas, Kelantan, dilantik sebagai Senator bagi tempoh tiga tahun.

Bekas pegawai tadbir diplomatik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri itu merupakan anggota lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, Abu Zahar mengingatkan anggota dewan supaya tidak menjadikannya medan untuk meluahkan emosi termasuk  kemarahan masing-masing.

"Saya juga ingin menarik perhatian bahawa bahasa yang digunakan dalam dewan ialah Bahasa Melayu. Ia telah lama diterima pakai dalam perlembagaan kita. Jika anggota dewan ingin bercakap dalam Bahasa Inggeris untuk perkataan tertentu, haruslah mendapat keizinan daripada Yang Dipertua terlebih dahulu.

"Jangan sampai soal bahasa dipersoalkan," katanya sambil menambah kualiti berbahas dan berhujah harus mengikut standard yang diguna pakai serta sentiasa saling menghormati anggota dewan yang lain.

Umno, Dewan Negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain