KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2015 (PAU 2015), yang bermula esok, bakal tampil sedikit berbeza namun agendanya tetap sama iaitu memperkasakan dan memperkukuhkan solidariti 3.4 juta anggotanya demi kelangsungan parti terbesar orang Melayu di negara ini. Perhimpunan kali ke-66, yang menghimpunkan 5,738 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dilihat menguji kematangan anggota Umno dan kebijaksanaan pemimpin ketika parti tunjang Barisan Nasional ini berdepan pelbagai cabaran dari dalam dan luar. Buat julung kali, Perhimpunan Agung Umno 2015 yang dijadual berlangsung hingga 12 Disember dengan perasmiannya pada Khamis, akan menyaksikan persidangan ketiga-tiga sayap parti pada Rabu dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing, berbanding secara tradisinya ia disempurnakan timbalan presiden. Selain itu, berkemungkinan hanya presiden parti yang akan menyempurnakan sesi penggulungan walaupun kebiasaannya, sebelum presiden menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan, wakil Majlis Tertinggi (MT), ketua-ketua sayap, naib-naib presiden dan timbalan presiden berucap pada sesi penggulungan. Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tidak salah jika tradisi dalam Umno yang tidak termaktub dalam perlembagaan diubah, sebagaimana perasmian perhimpunan agung Pemuda, Wanita dan Puteri pada kali ini. Seperti sebelum ini, perhimpunan akan bermula dengan majlis Taklimat Presiden yang akan diadakan secara tertutup malam esok di Dewan Merdeka. Sejumlah 2,762 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung parti manakala seramai 993 perwakilan menghadiri perhimpunan agung Pergerakan Wanita, 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri). Seramai 85 delegasi mewakili 22 parti dari 15 negara serta 86 perwakilan Kelab Umno Luar Negara yang terdiri daripada 79 kelab dan tujuh badan perhubungan negara mengesahkan kehadiran mereka. Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas akan diadakan pada Rabu, pukul 8 malam, dengan antara agendanya untuk membuat keputusan berhubung ucapan penggulungan pada akhir persidangan. Tengku Adnan sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa memadai hanya Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan ini. Seperti kelaziman, perhatian pastinya tertumpu kepada ucapan dasar Presiden, yang antara lain akan menyentuh agenda memperkasakan Umno, isu-isu semasa dan penjelasan lanjut mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Sesi perbahasan akan bermula dengan usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi, agama dan pendidikan dan diakhiri dengan ucapan penggulungan pada Sabtu, hari terakhir perhimpunan. Sebanyak 768 usul diterima daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara. Antara topik yang dijangka mendominasi perbahasan ialah kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian agama Islam.