suria

SPRM Perlu Pemimpin Strategik Hadapi Perubahan Semasa

Abu Kassim Mohamed.

KUALA LUMPUR: Dalam mendepani arus transformasi serta cabaran semasa bagi mencegah rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan lebih ramai pemimpin strategik berbanding pemimpin operasi, kata Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Selain penambahbaikan operasi, beliau berkata kepakaran, strategi, dasar serta sumber manusia yang bijak dan tepat pada tempatnya adalah penting dalam usaha membawa SPRM ke peringkat lebih tinggi.

"SPRM memerlukan perubahan yang lebih besar seiring keperluan dan tuntutan semasa. Lazimnya jika seseorang pemimpin operasi itu mahir dalam siasatan, dia akan fokus kepada bidang itu sahaja dan jika mahir dalam pencegahan, mereka tertumpu kepada pencegahan sahaja. 

"Tetapi pemimpin strategik bukan sahaja mempunyai pengetahuan, malah mampu mengenal pasti perubahan semasa dan persekitaran serta bijak mengendali perubahan tersebut, katanya ketika ditemui Bernama pada program 'Integrity-Based Leadership', di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), baru-baru ini.

Menyentuh tentang perubahan masyarakat hari ini yang menuntut ketelusan dalam siasatan kes-kes tertentu SPRM, Abu Kassim tidak menyangkal situasi berkenaan sememangnya jauh berbeza jika dibandingkan dengan tempoh 10 tahun lepas.

"Cabaran hari ini adalah kita berhadapan dengan 'public demand' yang meminta SPRM supaya lebih telus. Mereka mahu melihat sejauh mana SPRM bijak menerangkan kepada masyarakat akan sesuatu perkara dan sejauh mana kita bebas serta tegas dalam menjalankan tugas. 

"Justeru, sekarang SPRM mengubah dasar untuk menjadi lebih telus dalam menjelaskan tindakan-tindakan (yang diambil SPRM), namun pada masa sama mengambil kira batasan undang-undang," katanya. - BERNAMA

SPRM, pemimpin strategik

Artikel Sebelum

Artikel Lain