KUALA LUMPUR: Merasakan diri sangat hampir dengan barisan kepimpinan negara, penjaja di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 meluahkan keinginan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Selain Perdana Menteri, beberapa penjaja di sini juga menyebut beberapa nama pemimpin lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Setiausaha Agung parti itu. Peniaga makanan ringan, Arif Adam, 25, berkata, di samping mencari rezeki sempena PAU kali ini, dia sebenarnya menyimpan harapan agar Khairy, selaku menteri yang dikaguminya datang menjenguk gerai bergerak menggunakan pikapnya. “Saya nak jumpa KJ. Teringin sangat nak jumpa beliau. “Kalau boleh saya mahu beliau datang tengok bagaimana kami belia-belia di sini bersemangat berniaga. Saya anggap beliau adalah seorang contoh menteri yang baik dan bagus setakat ini,” katanya kepada mStar Online, Selasa. Arif yang berniaga menggunakan lesen sementara yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, sebagai peniaga kecil-kecilan, majlis atau acara besar seperti PAU sering dinanti-nantikan kerana ia adalah peluang untuk meraih pendapatan lebih. “Tapi perhimpunan Umno saya rasa lebih daripada itu, ia sedikit istimewa. “Sambil berniaga kita boleh mengharapkan perubahan positif terhadap rakyat, mungkin sebab pada masa ini saja kami penjaja berasa dekat dengan pemimpin dan pada masa sama perwakilan berbahas membawa suara masyarakat,” katanya. Bagi Yusof Ahmad, 49, kedatangan PAU adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu setiap tahun kerana ia membuka peluang kepadanya mendapat keuntungan lebih. Dia yang sudah empat kali berniaga di sekitar PWTC setiap kali PAU diadakan berkata, adalah lebih ‘indah’ jika perdana menteri atau timbalannya meluangkan masa melawat penjaja yang berniaga sempena PAU. “Kalau dapat biarlah Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang datang, dapatlah mereka tengok keadaan kami ‘orang kecil-kecil’ yang berniaga di sini. "Kami tak minta banyak, cuma mahu diberi sedikit perhatian," katanya yang menjual minumman ringan dan rojak buah. Nasarudin Samsul Anuar, 22, yang berniaga air balang dan bebola ikan pula berharap pemimpin yang turun ke PWTC dapat menggunakan peluang ini untuk bertemu dan beramah mesra dengan peniaga-peniaga kecil. “Di sini, jarak pemimpin dan komuniti penjaja sudah begitu dekat. “Kami tak dapat masuk dalam bangunan untuk bertemu pemimpin, jadi kami harap mana-mana pemimpin sudi melawat kami di luar ini dan mendengar serba-sedikit masalah peniaga terutama golongan belia,” katanya. Katanya, di sekitar ibu kota ini sahaja, banyak golongan belia yang minat berniaga tetapi tidak tahu tentang beberapa prosedur. Dalam hal ini katanya, Khairy dan Tengku Adnan dilihat dapat membantu dengan sekurang-kurangnya memberi perhatian terhadap masalah pokok yang dihadapi mereka. Bagi Ikmal Hakimi Zaharudin, 23, dia mengambil kesempatan ini untuk membantu rakannya menjual keropok lekor dan kebab. Tidak menafikan jumlah keuntungan akan meningkat dengan berniaga sepanjang berlangsungnya PAU, namun dia berkata, masih banyak bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh golongan peniaga daripada kerajaan. “Dari segi jangka pendek memang menguntungkan, tapi untuk jangka masa panjang saya lihat banyak yang boleh kerajaan lakukan,” katanya. PAU 2015 berlangsung dari 8 hingga 12 Disember ini. Pada hari pertama akan diadakan taklimat tertutup oleh presiden parti yang dihadiri oleh pimpinan Umno di semua peringkat. Hari kedua adalah perasmian tiga sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri diikuti majlis perasmian dan perbahasan pada Khamis dan dan Jumaat. Penggulungan dan penutup akan diadakan pada Sabtu.