KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum pasti mengenai nasibnya dalam Umno yang berkemungkinan akan ditentukan pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) parti itu malam ini. Malah Timbalan Presiden Umno itu juga tidak mengetahui sama ada beliau bakal berhadapan tindakan dipecat daripada jawatan dalam parti. Bagaimanapun jawapan terhadap dua tanda tanya itu bagaikan diketahuinya menerusi isyarat badan ketika diajukan media. Bekas timbalan perdana menteri itu hanya menggelengkan kepala ketika diajukan soalan berhubung perkara tersebut. Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk meneruskan khidmatnya sebagai orang nombor dua kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin senior dari Johor itu hanya menganggukkan kepala. Terdahulu, pergerakan Muhyiddin yang dikawal ketat anggota Rela dan sekumpulan individu tidak dikenali mencetuskan kekecohan dengan wakil media yang bertugas. Kekecohan itu mengakibatkan pihak media gagal mengadakan sidang media dengan Muhyiddin. Beliau akhirnya meninggalkan PWTC tanpa bercakap kepada media. Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bergerak bersama Muhyiddin bagi meninjau sesi perbahasan sayap-sayap Umno berkata, beliau tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai nasibnya di dalam parti. Sebaliknya, beliau sekadar berkata: “Saya hanya akan beri komen selepas tamat perasmian.” Ketika ditanya mengenai sambutan perwakilan terhadap kehadiran beliau, Shafie dalam nada ringkas berkata, "bagus" sambil menganggukkan kepalanya. Bagaimanapun usaha media untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada bekas menteri Kabinet itu mengenai isu dalaman Umno tidak berhasil ekoran ‘gangguan’ pihak tertentu yang seolah-olah mahu menghalangnya daripada bercakap.