KUALA LUMPUR: Ketiga-tiga sayap Umno - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri mengadakan perhimpunan agung masing-masing sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu. Perhimpunan kali ini menyaksikan kelainan apabila ia dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing, berbanding secara tradisinya yang disempurnakan timbalan presiden parti itu. Ketua pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merasmikan persidangan sayap pergerakan itu di Dewan Merdeka; perhimpunan agung Pemuda pula dirasmikan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin di Dewan Tun Dr Ismail manakala perasmian pergerakan Puteri disempurnakan ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Dewan Tun Hussein Onn. Ketiga-tiga perhimpunan itu dirasmikan secara serentak pada 8 pagi sebelum para perwakilan yang dipilih membahaskan usul antaranya mengenai pendidikan, kos sara hidup, ekonomi dan perumahan. Sebanyak 993 perwakilan Wanita, 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri) menghadiri persidangan sayap berkenaan.