suria

Yang Dipertua Dewan Negara Tegur Senator Tak Hadir Sidang Dewan

Abu Zahar Ujang.

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Rabu menegur anggota Dewan Negara yang tidak terlibat dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 tetapi tidak hadir ke persidangan dewan. 

"Saya memang memberi kebenaran kepada beberapa menteri yang terlibat untuk mengecualikan diri hadir ke dewan, tetapi bagi yang tidak terlibat, mereka mesti hadir kerana persidangan ini lebih penting," katanya sebaik sahaja Dewan Negara bersidang semula pagi Rabu.

PAU 2015 sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula Selasa sehingga Sabtu ini.

Abu Zahar menjelaskan, ada antara anggota dewan negara yang menjadikan PAU 2015 sebagai alasan tidak hadir ke dewan negara dan tindakan ini sangat dikesali.

Beliau juga menasihatkan semua anggota dewan supaya dapat hadir untuk membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 yang sedang dibahas di dewan negara ketika ini.

Persidangan Dewan Negara bermula Isnin lepas sehingga 22 Disember ini. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain