YAN: Pesara tentera dan bekas anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) antara tiga ditahan kerana menjual dan memiliki senapang patah buatan sendiri, dalam tiga serbuan di lokasi berasingan yang dilakukan pasukan Cantas Ibu Pejabat Polis (IPD) Yan, pada Selasa dan Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, hasil serbuan tersebut, Polis merampas empat laras senapang patah buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk menghapuskan binatang perosak tanaman. Menurutnya dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Teroi, dekat sini, pukul 10.45 malam, pada Selasa, Polis menahan seorang bekas anggota Rela berusia 67 tahun serta merampas tiga laras senapang patah buatan sendiri bersama peralatan membuatnya. "Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Setar, kira-kira pukul 12.30 malam, Rabu dan menahan seorang lelaki berusia 62 tahun, bagaimanapun tiada senjata api yang ditemui bersama suspek walaupun suspek mengaku ada membeli selaras senapang patah buatan suspek pertama," katanya dalam sidang media di sini, Khamis. Manakala dalam serbuan ketiga di Kampung Perigi kira-kira pukul 1.20 pagi pada Rabu, Polis menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang merupakan pesara tentera, serta merampas selarang senapang patah yang didakwa dibeli daripada suspek pertama. "Siasatan mendapati, suspek pertama telah menjual kira-kira 10 laras senapang dalam tempoh dua tahun, dan mempelajari cara membuat senapang daripada seorang kenalannya yang berada di Pahang. Difahamkan, selaras senapang patah berharga antara RM800 hingga RM1,500, bergantung kepada jenisnya," katanya. Muhamad Halim berkata, kesemua suspek kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.-- Bernama