KANGAR: Langkah kerajaan Perlis menanam sebanyak 2,000 pokok mangga Harumanis serentak di 23 lokasi baharu di negeri ini dijangka mampu menghasilkan kira-kira 66.6 metrik tan buah apabila ia mula mengeluarkan hasil pada 2018. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ahmad Bakri Ali berkata, hasil tersebut bersamaan dengan kira-kira 200,000 bijih buah untuk satu musim pengeluaran dengan anggaran pendapatan lebih RM1.332 juta. "Gerakan menanam serentak mangga Harumanis ini dilaksanakan di 23 lokasi seluas 16.26 hektar melibatkan 10 jabatan kerajaan, dua buah sekolah, kolej matrikulasi dan 10 ladang petani dengan jarak tanaman yang disyorkan Jabatan Pertanian Negeri iaitu sembilan meter persegi untuk setiap lubang," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Gerakan Menanam Serentak 2,000 Pokok Mangga Harumanis Perlis Sempena Sambutan 110 Tahun Jabatan Pertanian oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Pusat Pertanian Bukit Bintang 2, Sungai Batu Pahat di sini, Khamis. Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan memulakan penanaman pokokHarumanis pada Program Gerakan Menanam 2000 PokokHarumanis Sempena Sambutan 110 Tahun Jabatan Pertanian di Ladang Harumanis Bukit Baintang 2 hari ini. Berangkat sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga, kiri). Jabatan Pertanian Negeri selaku pengendali projek tanaman itu akan dibantu Persatuan Radio Amatur Negeri Perlis (ASTRA) yang bertindak sebagai penghubung antara peserta di 23 lokasi yang terlibat. Sebanyak 493 pokok mangga Harumanis ditanam di Pusat Pertanian Bukit Bintang 2 yang merupakan tapak asal Taman Anggur Perlis. Sementara itu, Ahmad Bakri berkata Taman Anggur Perlis akan dikecilkan keluasannya daripada 9.49 hektar kepada tiga hektar untuk memberi laluan kepada tanaman mangga Harumanis secara berperingkat. Menurut beliau, seiring dengan pendaftaran mangga Harumanis di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia sebagai "Mangga Harumanis Perlis" pada 2012 lalu, peniaga atau pengusaha Harumanis di negeri ini boleh menggunakan nama tersebut untuk menjual buah mangga Harumanis mereka. Pada majlis sama, Malaysia Book of Record (MBOR) turut memberi pengiktirafan kepada Jabatan Pertanian Negeri atas penanaman serentak 2,000 pokok mangga Harumanis yang menjadi ikon negeri itu dalam masa dua minit 40 saat. Ahmad Bakri berkata kerajaan sentiasa memberi galakkan kepada rakyat di negeri ini untuk menceburkan diri dalam industri mangga Harumanis memandangkan perusahaan pertanian ini mampu memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha. Mangga Harumanis sememangnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga pengeluaran hasil masih tidak dapat menampung permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar tempatan mahupun luar Perlis. "Ini kerana saban tahun permintaan terhadap Harumanis begitu tinggi berbanding keupayaan pengeluarannya yang hanya sekitar beberapa ratus tan metrik sahaja setiap musim," katanya. Menurut Ahmad Bakri, sejak 2011 keluasan ladang mangga Harumanis di Perlis ditambah 200 hektar setiap tahun bagi mencapai sasaran 1,000 hektar menjelang akhir tahun ini. Penambahan keluasan penanaman ini melibatkan 24,600 pokok baru pada setiap tahun, katanya.-- Bernama