KUALA LUMPUR: Gerai tekstil antara yang sering mendapat perhatian ramai pada setiap Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pelbagai produk tekstil dijual pada harga yang berpatutan, malah potongan harga yang menjunam pada hari akhir biasanya akan mendorong orang ramai berpusu-pusu untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke kampung masing-masing. Sehari sebelum berakhirnya perhimpunan tahunan itu, ada peniaga yang sudah menawarkan kain pada harga RM10 untuk empat meter, malah ada juga menarik perhatian ramai dengan empat pasang RM100 atau tiga pasang untuk hanya RM50. Bagi pengasas Anida Trading Berhad, Yunidar Jamaan, 59, katanya, sambutan baik yang diperoleh sejak berniaga pada PAU 1998 tidak pernah disia-siakan. "Apa yang ditawarkan hari ini sudah cukup murah sehinggakan lapan pasang kain dijual dengan harga RM 100. "Kami jual murah dan esok kami akan tawarkan harga runtuh untuk habiskan semua stok yang ada," katanya yang turut memiliki premis di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini kepada mStar Online. Di gerainya, kata Yunidar, mereka menawarkan tekstile jenama tersendiri yang dihasilkan di sebuah kilang di China. "Kami ada pelbagai jenis kain seperti satin, kapas, sutera China dan pelbagai lagi dengan lebih dari 500 rekaan," jelasnya. Tambahnya lagi, hasil jualan pada Khamis mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000 dan menyasarkan lebih daripada itu pada Sabtu.