suria

Standard Cecair Untuk Vape Diumum Tahun Depan

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Standard cecair berperisa untuk rokok elektronik atau vape akan diumumkan tahun hadapan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata proses menetapkan piawaian berkenaan mengambil masa kerana melibatkan beberapa proses perundangan, di samping perlu selari dengan standard antarabangsa.

"Kita telah merujuk kepada France dan British standard, semua itu akan kita gabungkan dan lihat mana yang kita boleh guna pakai.

"Selain itu, beberapa perundangan melibatkan tahap nikotin terpaksa dibuat dengan mendapatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jualan Ke Sekolah di seluruh negara yang bermula 21 November sehingga 10 Januari 2016 di sini, Khamis.

Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jangkaan pengumuman standard penggunaan cecair itu oleh kementeriannya.

Pada majlis itu seramai 1,000 murid sekitar sekolah di Wilayah Persekutuan menerima bantuan peralatan sekolah.

Kempen itu menawarkan diskaun sehingga 70 peratus melibatkan lebih 5,000 jenis barangan di pasaraya terpilih iaitu Tesco, AEON Big, AEON Co., Giant, Mydin, The Store dan KK Super Mart di cawangan seluruh negara.

Mengulas mengenai kempen itu, Hamzah berkata program tahunan itu bertujuan membantu pengguna khususnya ibu bapa untuk mendapatkan keperluan persekolahan dengan harga promosi dan mampu milik.

Katanya, kerajaan sentiasa peka dan maklum terhadap kesusahan rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup dan penganjuran program ini secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut