KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengkaji semula tambang Komuter untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun dan ke atas yang sama kadarnya dengan orang dewasa mulai 2 Disember. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkara itu akan dibincangkan antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan KTMB dalam tempoh terdekat. "Mungkin ada masalah komunikasi...walaupun KTMB mengumumkan tambang tiket untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun adalah sama dengan tambang untuk orang dewasa, tetapi kami tidak bersetuju dengan keputusan itu. "Jadi, SPAD akan berbincang dengan KTMB untuk memastikan ia (tambang) akan terus seperti dasar lama," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Kereta Api Berkelajuan Tinggi China (CSR), di sini Jumaat. Pada Rabu, KTMB, melalui laman twitter rasminya mengumumkan bahawa tambang bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun dan ke atas adalah sama dengan kadar tambang bagi orang dewasa. Pengumuman itu mendapat banyak sungutan daripada orang ramai. Sebelum ini, Presiden KTMB. Lt Kol (B) Sarbini Tijan berkata tambang tren akan naik mulai 2 Disember, dengan kadar tambang tertinggi ialah RM7.10 bagi satu perjalanan. Bagaimanapun, katanya, pelajar sekolah rendah dan menengah serta mahasiswa, yang menggunakan Komuter, akan menikmati diskaun tambang sebanyak 50 peratus. Tambang KTM Komuter tidak dinaikkan sejak Februari 2003.-Bernama