KUALA LUMPUR: Pintu kemaafan sentiasa terbuka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal jika mereka meletakkan perpaduan dan masa depan parti sebagai keutamaan. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berkata, perkara berkenaan perlu berlaku secara ikhlas tanpa paksaan oleh mana-mana pihak. “Kita sentiasa terbuka, tetapi ia banyak berkisar kepada tuan punya badan juga. Penting untuk kita semua fikirkan mengenai masa depan parti. Ada kalanya pemimpin berada dalam keadaan dipersimpangan, terlanjur. “Ia akan mengambil masa sedikit untuk kita melihat kepada usaha memperkukuhkan dan merapatkan barisan kita,” katanya pada sidang media di PWTC sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini, Jumaat. Sidang media itu turut disertai seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Selain itu, menurut Hishammuddin, kekosongan satu lagi kerusi yang sepatutnya diisi Shafie selaku naib presiden pada sidang media harian itu tidak sepatutnya disalah tafsif. “Kerusi sebelah kiri Datuk Zahid tetap diisi di atas pentas (Dewan Merdeka) di sebelah kami berdua dan saya kira tak ada masalah langsung. “Saya rasa itu lebih penting berbanding sidang media ini. Naib presiden seorang lagi berada di atas pentas dengan memakai baju merah bersama kita semua pada hari pertama. Saya tengok tak kekok langsung seperti yang diramalkan oleh ramai pemberita sebelum ini,” katanya.