KUALA LUMPUR: "Nak seribu daya tak nak seribu dalih, jadi terpulang kepada pemimpin (PAS)," demikian Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai syarat parti Islam itu untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno. Pada Khamis, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu sedia menerima pelawaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya parti itu kembali kepada Islam. Menurut ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu, Najib dan Abdul Hadi perlu duduk berbincang dengan barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti mengenai syarat kerjasama tersebut. "Kalau itu disebut pemimpin PAS maka kedua-dua presiden perlu duduk berbincang dengan wakil Majlis Tertinggi Umno dan PAS," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di sini, Jumaat. Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, cadangan kerjasama politik itu menunjukkan Umno sentiasa terbuka terutamanya apabila melibatkan isu perpaduan Melayu dan umat Islam. "Presiden buat penghuluran tangan dalam ucapan beliau adalah tanda Umno memang sentiasa terbuka minda apabila membincangkan isu Melayu terutamanya Melayu Islam," katanya. Pada Khamis, Najib semasa menyampaikan ucapan dasar presiden menghulur silaturahim kepada PAS dalam usaha menuju kesempurnaan membina Malaysia yang mengikut syariat Islam sebenar.