Beliau berkata melalui Arahan Perbendaharaan 103 dan peraturan-peraturan kewangan berkuat kuasa, KPM sentiasa mempunyai obligasi untuk membuat pembayaran apabila perolehan kerja selesai dilaksanakan dalam tempoh 14 hari sebaik tuntutan diterima dengan lengkap dan sempurna.
"Perlu diketahui bahawa tuntutan kontraktor bagi projek-projek KPM yang dilaksanakan secara konvensional adalah melalui pihak perunding.
"Pihak perunding bertanggungjawab menilai kerja pembinaan yang dilaksanakan dan mengemukakan dokumen tuntutan bayaran yang telah ditandatangani perunding," katanya.
Tegas beliau, kementerian juga tidak akan melewatkan pembayaran sama ada kepada kontraktor bumiputera mahupun kontraktor lain dalam pelaksanaan projek di bawah kementerian.
"Kita akan mendapat ulasan daripada perunding dan sekiranya kontraktor gagal melaksanakan kerja mengikut skop kerja maka perunding tidak akan memberikan ulasan yang baik kepada kita.
"Biasanya penilaian ini bukan kita yang buat tetapi oleh perunding dan sekiranya ada berlaku perbezaan daripada skop asal dan skop yang diselesaikan maka pasti juru runding kita tidak akan memberi dokumen-dokumen yang dilengkapkan,"katanya.
Kamalanathan juga berkata KPM sentiasa membuka pintu dan sedia berbincang dengan kontraktor untuk memberi nasihat kepada mereka tentang bagaimana mereka boleh menepati syarat yang dikenakan.
"Pihak kami tidak mahu terlibat apabila kontraktor diberi kerja, kerja tidak dapat disiapkan, kerjanya 'low standard' kerana ini ada kena mengena dengan sekolah di mana anak-anak kita belajar.
"Kita sentiasa rela memberi panduan dan nasihat kepada kontraktor bagaimana mereka dapat mengikuti skop melaksanakan kerja tanpa sebarang masalah," tambahnya.