suria

Lebih 7,000 Terputus Komunikasi di Pedalaman Sarawak

Gambar hiasan.

BA’KELALAN: Lebih 7,000 penduduk dari 12 penempatan kawasan tanah tinggi di Long Sukang di sini terputus hubungan dengan dunia luar kerana tidak mempunyai kemudahan telefon.

Keadaan itu berlaku walaupun pada hakikatnya kerajaan sudah membina sebuah menara telekomunikasi setinggi 50 meter di Long Sukang.

Perjalanan ke perkampungan ini mengambil masa selama dua jam setengah dengan menggunakan laluan kem pembalakan dari bandar Lawas.

Penduduk di perkampungan ini melahirkan rasa kecewa berikutan ketiadaan kemudahan telekomunikasi kerana syarikat telekomunikasi masih belum memasang sistem pemancar walaupun kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membina menara tersebut.

Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Nelson Balang Rining melawat perkampungan tersebut pada Ahad dan bertemu rakyat untuk mengetahui masalah mereka.

Ketua Kampung Long Sukang, Bina Balang dan beberapa penduduk di perkampungan itu membawa Nelson ke tapak menara komunikasi tersebut.

"Pejabat saya di cawangan SPDP Ba'kelalan menerima banyak rayuan bantuan daripada penduduk di 12 penempatan, satu kem pembalakan, klinik dan sekolah dari Long Sukang yang berdepan masalah komunikasi harian dengan dunia luar kerana mereka tidak boleh menggunakan telefon bimbit.

"Kerajaan pada awal tahun ini mendirikan menara tersebut tetapi sehingga kini syarikat telekomunikasi belum memasang apa-apa sistem  pemancar.

"Oleh itu, penduduk di 12 penempatan di kawasan tanah tinggi ini perlu pergi ke Lawas untuk membuat panggilan telefon.

"Saya akan membawa perkara ini ke perhatian pihak berkuasa dan syarikat telekomunikasi supaya mereka memasang sistem kemudahan yang amat diperlukan di Long Sukang.

"Kami bercakap mengenai 7,000 penduduk yang tidak mempunyai kemudahan telefon dan benar-benar terputus sistem komunikasi," kata Nelson kepada The Star pada Isnin.

Bina berkata terdapat kes rawatan kecemasan yang berakhir dengan kematian tragis kerana mangsa tidak boleh membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan.

"Kami merayu kepada SPDP agar membantu kami menyelesaikan isu ini secepat yang mungkin," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain