suria

BSN Digesa Cari Jalan Bantu Rakyat Tingkat Simpanan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menunjukkan resit transaksi selepas menggunakan perkhidmatan Virtual Teller Machine (VTM) selepas melancarkan perkhidmatan terbaru Bank Simpanan Nasional (BSN) pada Selasa. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) digesa  mencari jalan untuk membantu rakyat meningkatkan simpanan mereka bagi memastikan kejayaan peratusan jumlah tabungan kebangsaan yang lebih tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, sejajar usaha Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, rakyat seharusnya mengamalkan tabiat menyimpan bagi membolehkan negara meraih kadar tabungan kebangsaan sebanyak 38 peratus yang ditetapkan bagi negara maju Asia.

"Jumlah peratusan tabungan kebangsaan yang tinggi juga akan dapat mengurangkan (paras) pinjaman asing," katanya ketika melancarkan perkhidmatan 'Juruwang Maya' BSN, di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, simpanan secara 'paksa' menerusi langkah caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji dan koperasi adalah tinggi pada masa ini.

Sehubungan itu, katanya, sudah sewajarnya simpanan secara sukarela turut dipertingkatkan.

"Ada sesetengah pihak memberi alasan mereka tidak mampu untuk menyimpan wang kerana dibebani kos sara hidup tinggi dan (kesan) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Namun, jika mereka menyemai dan mempraktikkan amalan murni ini sejak usia muda, ia pada akhirnya akan menjadi satu tabiat," katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa institusi kewangan untuk mendidik para pelanggan mengenai keperluan mengamalkan tabiat menabung dalam persekitaran ekonomi yang serba mencabar. - BERNAMA

BSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain