suria

849 Kemalangan, 36 Kematian Di LPT2 Sehingga November

KUALA LUMPUR: Sebanyak 849 kes kemalangan dengan 36 kematian dicatatkan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari 1 Februari hingga November tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu malam Selasa.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada statistik itu juga, sebanyak 664 kes kemalangan adalah berpunca daripada faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju yang diwartakan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan.

"Faktor persekitaran seperti pencerobohan haiwan liar atau haiwan ternakan dan air bertakung mencatatkan jumlah 113 kes dan 72 kes kemalangan disebabkan oleh faktor mekanikal kenderaan.

"Didapati kes kemalangan maut tidak berlaku di lokasi yang beralun tetapi ia melibatkan laluan yang lurus dan permukaan lebuh raya yang baik atau tidak beralun," katanya dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi kementeriannya di sini, Selasa.

LPT 2 dibuka sepenuhnya pada 31 Januari tahun ini.

Memandang serius dengan jumlah kemalangan yang tinggi di LPT 2, Fadillah menjelaskan, kementeriannya telah, sedang dan akan mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata antara langkah tersebut adalah menambah baik permukaan lebuh raya dengan menggunakan kaedah 'resurface' dan 'regulate', membaik pulih permukaan lebuh raya dan sistem perparitan di lokasi-lokasi air melintas serta pemasangan papan tanda amaran di lokasi kerap berlakunya kemalangan akan diusahakan.

Tegasnya, kementerian akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memantau dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang lebuh raya berkenaan. - BERNAMA


LPT2, kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain