suria

Kerjasama Kerajaan PAS Kelantan-Pusat Telah Lama Wujud - Ahmad Yakob

Ahmad Yakob

KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerjasama antara kerajaan PAS Kelantan dengan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN), telah lama wujud.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-duanya dapat dilihat terutamanya dalam aspek pengurusan perkhidmatan kerajaan misalnya bagi membincangkan isu-isu tertentu mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.

"Contohnya, setiap menteri besar mesti hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tanah Negara untuk berbincang mengenai isu tanah serta perkara yang ada kaitan antara negeri dan pusat.

"Ini menunjukkan bahawa kerjasama antara negeri dan Persekutuan memang berlaku," katanya sebagai mengulas mengenai kerjasama antara PAS dan Umno.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Anggota Perkhidmatan Awam Kelantan Tahun 2014, menyampaikan  Sijil Tasawwur Islam Siri II dan Sambutan Hari Intergriti Peringkat Kelantan di sini, Selasa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Ditanya mengenai kerjasama politik antara kedua-dua parti, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata ia terserah kepada pimpinan tertinggi parti itu untuk menentukan hala tuju PAS selepas ini.

"Saya tak nak komen (mengenai kerjasama politik). Biar pemimpin tertinggi sahaja yang bercakap sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebelum ini," katanya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata Umno hanya 'bermimpi' jika ingin menjalinkan hubungan dengan PAS selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN dan Perdana Menteri pada Khamis lepas menghulurkan 'tali silaturahim' kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain