PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Tinggi Wellington mengeluarkan hasil penemuan bahawa bekas pekerja di Kedutaan Malaysia Muhammed Rizalman Ismail mempunyai 'motif seksual' apabila mengekori seorang wanita pulang ke rumah. Menurut laporan New Zealand Herald, Hakim David Collins juga mendapati bahawa fikiran Rizalman berada dalam keadaan tidak normal yang mungkin telah mengurangkan pemahamannya apabila dia bertindak menyerang wanita itu. "Walau bagaimanapun kemungkinan untuk Rizalman 'kurang pemahaman' bukan faktor mitigasi kerana pada masa dia melakukan kesalahan, Rizalman berkemungkinan terjejas oleh ganja sintetik," kata Hakim Collins. Rizalman memberitahu mahkamah bahawa dia mendapat satu isyarat daripada wanita itu supaya mengekorinya pada 9 Mei tahun lalu dengan cara memberi senyuman kepadanya. Dia mendedahkan bahawa sudah menjadi satu adat di Malaysia jika seorang wanita itu senyum kepada seorang lelaki, ia dianggap jemputan supaya mereka diekori. Rizalman kemudian membuang air besar di luar rumahnya dan masuk ke bilik tidurnya tanpa memakai seluar atau seluar dalam. Dia kemudian mendekati wanita itu dengan menarik bahunya. Walaupun berkata dia percaya dengan ilmu hitam, Rizalman berkata, tindakannya membuang air besar di luar rumah wanita itu bukanlah kerana dia melakukan ilmu hitam, tetapi menegaskan bahawa dia mengalami cirit-birit dan masuk ke dalam rumah itu untuk membersihkan dirinya. Dia juga mengaku membeli ganja dan pergi ke kelab bogel, tetapi hanya untuk mendengar muzik bagi melepaskan tekanan. Rizalman bakal berdepan hukuman tahun depan dan Collins berkata dia akan menahan pembebasannya tanpa pendengaran meyakinkan pada bulan Februari, jika Rizalman masih mengemukakan permohonan untuk itu. Hakim telah mengarahkan supaya laporan dan laporan pra-hukuman dikemukakan untuk menilai sama ada Rizalman sesuai ditahan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia. Hakim Collins meminta Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Negeri New Zealand mengemukakan satu salinan keputusannya kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk melihat kesanggupannya.