suria

Buruh Binaan Warga Indonesia Maut Dihempap Tembok Runtuh

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Indonesia maut dipercayai dihempap tembok rumah ketika sedang melakukan kerja pembinaan  di Taman Koperasi Cuepacs di Kajang, dekat sini, petang Rabu.

Dalam kejadian pada 3.25 petang itu, Saiful Samad, 38, dipercayai tertimbus sedalam kira-kira 1.5 meter setelah tembok konkrit rumah berkenaan tiba-tiba runtuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Abdul Ghani Mohamad Ji berkata mangsa sebelum itu terjatuh ke dalam sebuah longkang sebelum tertimbus.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang Mohd Safiq Mohd Moor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang melihat kejadian itu pada 3.19 petang.

"Sejurus menerima panggilan saya segera mengerahkan tujuh anggota ke tempat kejadian bagi kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada 4.25 petang dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.

Mohd Safiq berkata ketika kejadian mangsa dipercayai sedang melakukan kerja pembinaan seorang diri manakala punca kejadian tembok runtuh dipercayai akibat keretakan pada struktur tembok berkenaan. - BERNAMA

buruh binaan, Indonesia

Artikel Lain