KETIKA memandu di sekitar Georgetown minggu lepas, saya sempat melihat satu pasangan Melayu lengkap berpakaian pengantin mengambil gambar di hadapan sebuah bangunan lama yang dipulihara. Sudah tentu saya tidak dapat menghentikan kenderaan untuk mengambil gambar mereka berdua tetapi saya sungguh teruja melihat keadaan ini yang sememangnya sukar ditemui di Kuala Lumpur. Menurut kawan-kawan saya yang tinggal di Pulau Pinang, kebanyakan pasangan pengantin masa kini akan mengambil gambar pra-perkahwinan mereka di kawasan-kawasan warisan sekitar Georgetown. "Ada juga pasangan Melayu yang mengambil gambar di hadapan Khoo Kongsi!" Saya fikir kebanyakan pasangan muda yang berkahwin mahu gambar mereka diabadikan di tempat-tempat yang menarik perhatian dan pastinya Georgetown menawarkan banyak tempat-tempat sedemikian. Saya berada di Pulau Pinang untuk menghadiri Festival Kesusasteraan Georgetown, sebuah acara tahunan yang memaparkan kerja-kerja sastera dari dalam dan luar negara. Penganjur menempatkan saya di sebuah hotel yang terletak di tengah-tengah kawasan Little India. Hotel tersebut merupakan sebuah bangunan lama yang telah diubahsuai kepada sebuah hotel backpacker yang moden. Anda juga boleh duduk di kedai kopi tingkat bawah hotel tersebut dan menikmati suasana sibuk yang mendominasi kawasan sepanjang jalan tersebut. Kehidupan di situ sangat meriah dan berwarna-warni. Di satu sudut, terlihat sebuah kedai kopi yang sudah usang menjual makanan tradisi negeri tersebut seperti char kuey teow dan laksa. Penganjur juga menyediakan kepada saya sesuatu yang sudah lama saya tidak rasai sejak kecil; putu bersama gula merah dan kelapa. Sementara hidangan makan malam pula disajikan dengan tosai bersama kari dal di sebuah kedai nasi kandar yang ternama di sini. Saya berucap di beberapa sesi dalam festival tersebut dan tempat-tempatnya pula berdekatan antara satu sama lain. Ini memberikan saya peluang untuk melihat dengan lebih dekat kedai-kedai serta aktiviti yang ada di sepanjang kawasan tersebut. Tabiat ini sering saya lakukan apabila berada di Eropah tetapi malangnya, sukar untuk saya dapatkan peluang sebegini di ibu kota. Satu hal yang pasti ialah penganugerahan status kota warisan Unesco kepada Georgetown telah menghidupkan semula bandar tersebut dengan bangunan-bangunan lama yang indah telah dipulihara kembali serta dijadikan kedai-kedai jualan, kafe dan galeri sementara kehidupan penduduk di sekitar kota tersebut berjalan seperti biasa. Menyelusuri jalan-jalan di kawasan tersebut boleh menjadi satu pengalaman budaya yang berharga kerana anda dapat melihat banyak perkara berwarna-warni yang menghidupkan suasana sekitarnya. Dapat dirasai satu perasaan yang asli mengenai hal tersebut seakan-akan ia dibasahi dan disirami dengan air yang sangat segar sehingga dapat membangunkan semula jiwa manusia-manusia di dalamnya. Dan budaya adalah jalan yang sesuai untuk menghidupkan semula jiwa manusia apatah lagi Georgetown mempunyai kelebihan dari segi saiznya yang kecil kerana anda dapat bersiar-siar di dalamnya berbanding Kuala Lumpur. Apa yang penting ialah festival kebudayaan sebgini dianjurkan oleh mereka yang tahu serta faham akan budaya dan inilah kunci keberhasilan sesebuah festival yang diadakan. Kebiasaannya, kerajaan negeri meluluskan acara-acara sebegini tanpa sebarang campurtangan. Ini bererti sesebuah acara dapat dijalankan di negeri ini dengan pengisian-pengisian yang ‘kontroversi’ serta berbeza daripada yang lain. Inilah rahsia bagaimana menarik minat para pengunjung untuk hadir ke acara-acara sebegini. Sudah tentu Kuala Lumpur juga mempunyai acara-acara kesenian dan kebudayaan yang tidak kurang hebatnya seperti festival KataKatha. Malangnya, kawasan Kuala Lumpur terlalu besar dan jarak antara satu tempat ke satu tempat juga jauh sehingga memerlukan kenderaan untuk sampai dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Di samping itu, lokasi-lokasi acara tersebut kebanyakannya diadakan di dalam pusat membeli belah, sesuatu yang merencatkan atmosfera kesenian dan kebudayaan itu sendiri. Menghadiri acara-acara sebegini di ibu kota akhirnya menjadi satu beban sehingga anda tidak punya lagi tenaga untuk menghadirinya! Pada masa yang sama, kadang-kala kita tidak tahu akan kewujudan acara-acara sebegini di Kuala Lumpur. Saya selalu mengikuti perkembangan acara-acara seni dan budaya di Kuala Lumpur tetapi saya juga tertanya-tanya mengapa masyarakat seakan-akan tidak tahu apa yang sedang berlaku di sini. Terlalu banyak program-program sebegin dianjurkan malangnya kita sangat daif dalam soal promosi dan publisiti. Sebagai contoh, baru-baru ini diadakan festival kesenian selama sebulan di Kuala Lumpur tetapi terdapat kekurangan yang ketara mengenai publisiti tersebut. Seolah-olah bajet yang diperuntukkan sudah habis dibelanjakan dari segi produksi sehingga tiada apa yang tinggal untuk menampung kos pemasaran. Maka, masyarakat tidak tahu dan tidak pergi ke festival tersebut lantas menjadikan ia satu kegagalan. Festival sebegini akhirnya dihentikan atau dikurangkan peruntukannya tanpa mengambil peduli hakikat bahawa festival sebegini memerlukan masa yang lama untuk dikenali oleh masyarakat. Seni dan budaya dapat merehatkan kita daripada hal-hal politik yang terus-menerus membelenggu diri kita saban hari. Ia menjanjikan satu pengalaman indah yang diperlukan oleh seseorang agar dirinya dapat merasai ciri-ciri ‘kemanusiaan’ yang telah hilang. Pada masa yang sama, seni dan budaya juga memberika kita peluang untuk berfikir tentang keadaan semasa dalam pelbagai cara dan sudut pandang. Di Pulau Pinang, saya mengamati generasi muda bertanyakan soalan-soalan yang rumit berkenaan subjek-subjek yang abstrak dan sukar. Hal ini membangkitkan harapan dalam diri saya bahawasanya tidak semua rakyat Malaysia seperti apa yang dipaparkan dalam berita-berita di televisyen.